Tahun Baru Cina: AirAsia tawar harga tambang tetap ke Sabah, Sarawak

Tahun Baru Cina: AirAsia tawar harga tambang tetap ke Sabah, Sarawak

Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook berkata tambang tetap itu boleh didapati untuk laluan menghubungkan KL ke Kuching, Sibu, Bintulu atau Miri.

Penerbangan dari Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu, atau Miri, serta antara Johor Bahru dan Kuching, Sibu, atau Miri ditawarkan pada harga tetap RM298 sehala. (Gambar Airasia)
SEPANG:
AirAsia menawarkan harga tambang tetap untuk penumpang yang menuju ke Sabah dan Sarawak sepanjang tempoh perayaan Tahun Baru Cina ini, kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Loke berkata harga tambang ini ditawarkan untuk laluan yang menghubungkan Kuala Lumpur ke Kuching, Sibu, Bintulu, atau Miri, serta antara Johor Bahru dan Kuching, Sibu, atau Miri, dengan harga tiket sehala RM298.

Selain itu, laluan antara Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu, Sandakan, atau Tawau, serta antara Johor Bahru dan Kota Kinabalu, ditawarkan pada harga RM348.

“Pilihan tambang tetap ini merangkumi semua lapangan terbang utama. Anda boleh mula membuat tempahan tiket serta merta, tetapi disarankan untuk tidak menunggu sehingga saat akhir,” kata Loke.

Loke berkata tambang tetap ini tidak hanya ditawarkan ketika Tahun Baru Cina tetapi juga untuk Hari Raya Aidilfitri, Kaamatan, Gawai dan Kristmas.

“Tiket dengan harga tetap ini boleh dibeli bermula hari ini hingga 15 Feb 2024, atau sehingga habis dijual,” kata Loke.

Apabila ditanya bagaimana kerajaan memastikan syarikat penerbangan tidak menipu dengan sengaja menaikkan harga tambang supaya menuntut bayaran perbezaannya dari kerajaan, Loke berkata, kerajaan sangat “bijak” dalam menguruskan wang.

“Jangan memandang rendah kepintaran kami dan fikir syarikat penerbangan boleh dengan mudah memanipulasi harga. Ia tidak akan berlaku kerana pertama sekali, harga tiket dipantau oleh Mavcom (Suruhanjaya Penerbangan Malaysia), dan kami tahu dengan tepat berapa banyak tempat duduk yang mereka tuntut,” katanya.

Loke juga berkata pemeriksaan menyeluruh dilakukan untuk memeriksa semua tuntutan yang dikemukakan oleh syarikat penerbangan.

“AirAsia baru sahaja mengemukakan laporan kepada saya mengenai inisiatif kami untuk perayaan Krismas. Harga yang disubsidi memberi manfaat kepada 5,000 penumpang hanya untuk AirAsia,” katanya.

Pada 15 Dis lalu, Loke mengumumkan bahawa penumpang dari semenanjung ke Timur Malaysia untuk pelbagai perayaan akan akan menikmati had harga tambang maksimum RM599, bermula Krismas lepas.

Beliau berkata tiket sehala untuk kelas ekonomi dari Semenanjung Malaysia ke destinasi di Sabah, Sarawak, dan Labuan akan ditetapkan pada RM599 untuk penerbangan pada 22, 23, dan 24 Dis.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.