‘Saudaraku disebalik ujian ada rahmat’ – naskhah terkini Ebit Lew

‘Saudaraku disebalik ujian ada rahmat’ – naskhah terkini Ebit Lew

Ebit Lew menjelaskan, ujian itu adalah tanda kasih Allah terhadap hambanya.

Ustaz Ebit Lew kini tampil dengan naskhah baharu berjudul ‘Saudaraku disebalik ujian ada rahmat’. (Gambar Instagram)

Reda sedikit selepas diuji dengan pelbagai dugaan termasuk dakwaan kes gangguan seksual, pendakwah selebriti, Ustaz Ebit Lew tidak bertangguh lagi apabila tampil dengan naskhah terbaharunya berjudul ‘Saudaraku, disebalik ujian ada rahmat’.

Menerusi video pendek di akaun Instagram miliknya, beliau berkongsi secara ringkas pengisian buku tersebut.

Menurut Ebit, setiap manusia dikurniakan pelbagai jenis ujian yang berbeza. Namun, beliau percaya bahawa semua yang terjadi dalam kehidupan setiap manusia adalah kerana Allah sayangkan umatnya.

“Untuk itu bila kita rasa sedih, susah, dalam hati percaya Allah sayang kita. Kita akan rasa tenang, ada rahmat besar nak datang supaya kita semakin dekat dengan DIA,” ujarnya.

Ebit turut melahirkan rasa syukur kerana dapat kembali menulis dan menyiapkan naskah tersebut selepas berdepan pelbagai dugaan dan ujian.

“Ya Allah. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah. Syukur dapat menulis buku lagi. Disebalik ujian ada rahmat. Dua tahun ini tahun yang berat dengan pelbagai ujian yang kita lalui. Saya percaya kasih sayangNya.

“Ia bertujuan hanya kerana sayangNya pada kita. Supaya kita lebih dekat dan mencintaiNya. Dia yang memilih kita untuk mengenalNya.

“Ya Allah terimalah sedikit tulisan ini sebagai asbab kebaikan,” tulis Ebit.

Perkongsian yang dimuat naik beberapa hari lalu itu pantas tular dengan lebih 300,000 tontonan.

Ruang komen juga sarat dengan pelbagai maklum balas positif selain mendoakan kejayaan usahawan pemurah tersebut dalam kegiatan amalnya.

Selain naskhah terbaharu itu, Ebit juga pernah menulis beberapa buku lain seperti 11 Amalan Memiliki Kekayaan, Isteriku Bidadari dan Menelusuri Cinta.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.