BORO unguli pentas pertama MLM 2021

BORO unguli pentas pertama MLM 2021

Kumpulan BORO yang mempertaruhkan gandingan segar Achey, Fad dan Atu berjaya menjuarai carta menerusi persembahan mereka yang begitu bersahaja.

Kumpulan BORO terdiri daripada Achey, Fad dan Atu berjaya menjuarai carta menerusi persembahan mereka yang begitu bersahaja. (Gambar Astro)

Pentas ‘Maharaja Lawak Mega 2021’ (MLM 2021) telah dibuka dengan rasminya pada Jumaat, 15 Oktober, secara langsung dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan dipancarkan terus di Astro Warna (saluran 107).

Dengan tugasan tema ‘Bebas’, kumpulan BORO yang mempertaruhkan gandingan segar Achey, Fad dan Atu berjaya menjuarai carta menerusi persembahan mereka yang begitu bersahaja dengan mengumpul markah keseluruhan sebanyak 74.84%.

Kumpulan OTAI yang terdiri daripada gandingan pelawak ‘legend’, Azlee, penyanyi/pelakon Ieda Moin & Acong pula menduduki kedudukan kedua dengan markah keseluruhan sebanyak 66.80%.

Manakala di tempat ketiga adalah gandingan pendatang baharu, trio, kumpulan CAWAN yang dianggotai oleh Aliff Yasraf, Wan Gegau dan Che Mat Raja Lawak, dengan markah terkumpul sebanyak 60.15%.

Dihoskan oleh figura penuh versatil, Dato’ AC Mizal, musim ini menyaksikan sebelas (11) kumpulan yang terdiri daripada gandingan duo dan trio pemain komedi tanah air berentap, menggegarkan pentas keramat MLM 2021 demi merebut hadiah kemenangan lumayan berbentuk wang tunai RM500,000!

Minggu pertama juga turut memperlihatkan MLM 2021 memperkenalkan empat Juri Tetapnya.

Pelakon dan Pengarah tersohor negara, Datuk Rosyam Nor bertindak sebagai sebagai Ketua Juri dan beliau ditemani oleh gandingan dua pelakon wanita popular, Uqasha Senrose dan Diana Danielle serta penyanyi kumpulan Hujan, Noh Salleh.

Memberi sentuhan kelainan, musim ini juri-juri tetap ditemani oleh juri misteri dipanggil Sang Bara dalam karakter seekor Naga. Wajah dan identitinya tidak akan didedahkan sehingga pentas final akan datang.

Komen-komen yang dilontarkan Sang Bara ini kepada peserta dilihat agak pedas sehingga membuatkan penonton teruja dan berteka-teki khususnya di platform media sosial sambil membuat tekaan siapakah individu di sebalik topeng naga ini.

Format pemarkahan tahun ini juga dilihat sedikit berbeza apabila setiap juri memberikan 1 HA untuk persembahan yang mereka gemari.

Oleh yang demikian, kelima-lima juri mewakili 5 HA dan 70% jumlah pemarkahan akan diberikan oleh barisan Juri Tetap manakala 30% daripada undian penonton, menerusi platform digital, www.gempak.com/maharajalawakmega atau peminat boleh mengimbas kod QR di skrin televisyen masing-masing sambil menerokai Dunia AR (Augmented Reality) MLM 2021.

‘Maharaja Lawak Mega 2021’ akan bersiaran pada setiap Jumaat, jam 9.00 malam, di Astro Warna (saluran 107) dan boleh distrim melalui platform Astro GO dan On Demand.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.