
Pelawak dan pelakon tersohor, Harith Iskander mengakui cukup terkesan dengan lonjakan angka korban bunuh diri dan masyarakat yang berdepan desakan hidup akibat sekatan pergerakan Covid-19 yang tidak berkesudahan.
Dalam satu hantaran di akaun TikTok, Harith meminta pengikutnya untuk sama-sama membantu dan lebih peka dengan kepayahan insan sekeliling termasuk keluarga, sahabat handai, jiran waima orang yang tidak dikenali sekalipun.
“Baru-baru ni saya banyak terima video WhatsApp orang bunuh diri, gantung diri, lompat dari bangunan. Saya tidak dapat bayangkan apa yang terjadi kepada seseorang itu yang menyebabkan dia sampai ke tahap itu.
“Tapi saya tahu kes-kes ini bukan setakat apa yang kita terima di WhatsApp. Yang kita terima hanya segelintir. Ramai sangat orang kat luar sana yang menderita,” katanya dalam nada bimbang.
Harith turut berpendapat kempen bendera putih begitu penting dan mahu masyarakat membantu mereka yang mengibarkan bendera putih itu.
“Sebab itulah pergerakan bendera putih ini begitu mustahak. Kalau anda nampak bendera putih di mana-mana. Kat rumah atau bangunan, pergi tolong apa yang boleh anda bantu.
“Kalau anda tak dapat tolong ataupun anda tak mampu tolong ataupun anda sendiri memerlukan pertolongan sila hubungi NGO kendalian saya The Hope Branch di talian 019 7093103,” katanya.
Jelas Harith, pasukannya akan sedaya upaya cuba membantu.
“Kalau boleh, bagi butir-butir seperti alamat atau lokasi ataupun nombor telefon supaya kita dapat cari orang atau keluarga itu.
Menurut Harith lagi, inilah waktunya masyarakat harus bertindak ‘bukan atas nama rakyat Malaysia’ sebaliknya sebagai manusia yang perlu membantu satu sama lain.
“Kita kena berdiri sebagai manusia dan bantu manusia lain,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]