
Penyanyi dan pemain bass Blink-182, Mark Hoppus mendedahkan berita sedih kepada peminatnya bahawa dia disahkan menghidap kanser dan sedang menjalani rawatan kemoterapi.
Penyanyi berusia 49 tahun dari California, Amerika Syarikat itu mengakui ia adalah satu perkara yang amat menakutkan menerusi hantaran di akaun media sosial.
Bagaimanapun, Hoppus tidak mendedahkan jenis kanser yang dihidapinya tetapi memberitahu peminat bahawa dia sedang menjalani rawatan sejak tiga bulan lalu.
“Ia amat perit dan saya takut, pada masa sama bersyukur dengan kehadiran doktor hebat selain mempunyai ahli keluarga dan rakan yang memberi sokongan.
“Saya masih mempunyai rawatan untuk beberapa bulan akan datang dan akan terus bersikap positif.
“Tidak sabar untuk bebas kanser dan semoga dapat jumpa anda semua dalam konsert akan datang. Sayang anda semua,” tulisnya di akaun Twitter.
Hoppus yang mempunyai seorang anak lelaki, Jack hasil perkahwinan dengan Skye Everly, adalah pengasas band berkenaan yang ditubuhkan pada 1992.
Blink-182 yang pernah menggegarkan dunia muzik punk berjaya mencipta kejayaan tersendiri apabila menjual lebih 50 juta album di seluruh dunia.
Sementara itu, pemain dram band itu, Travis Barker turut memuat naik sekeping gambar mereka berdua di media sosial ketika zaman kegemilangan Blink-182 dengan menulis ‘sayang awak@markhoppus’.
“Mark adalah ‘abang’ saya dan saya menyayangi dan menyokongnya. Saya akan bersamanya dalam setiap langkah sama ada ketika berada di pentas atau pun di luar. Tidak sabar menunggu masa untuk kembali beraksi bersama-sama nanti,” tulisnya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]