
Selepas pulih daripada jangkitan Covid-19 yang dialami lebih setahun lalu, pelakon, Ashraf Muslim kini mendedahkan dia mungkin mengalami kesan jangka panjang akibat virus berkenaan.
Perkara itu dimaklumkan menerusi Instagram milik artis terbabit apabila dia secara tiba-tiba mengalami kesakitan pada bahagian atas bahu.
Katanya, dia yang aktif melakukan pelbagai aktiviti sukan sebelum ini pada mulanya menyangkakan kesakitan itu berpunca daripada kecederaan lama.
“Ini semuanya kesan Covid-19, tetapi saya redha saja. Hari ini kena buat rawatan bahu kerana mempunyai masalah sendi bahu dan siku atau ‘acromioclavicular joint injury shoulder and elbow’.
“Doktor yang merawat saya, Dr Rahmani bertanya sama ada pernah mengalami kecederaan atau hentakan sebelum ini. Saya jawab tidak ada kerana kesakitan itu datang secara tiba-tiba ketika menjalani kuarantin akibat jangkitan Covid,” tulisnya pada hantaran video di akaun media sosial itu.
Ashraf berkata, doktor menjelaskan bahawa terdapat dua sebab yang mungkin menjadi punca kepada kesakitan itu, sama ada berlaku hentakan kuat atau kesan daripada jangkitan virus.
“Kesannya, otot di kawasan itu mengecut. Sakit bahagian sendi itu adalah kesan kedua saja tetapi masalah utamanya ialah kesan akibat jangkitan virus yang menyebabkan otot menjadi kecut.
“Jadi, memang jelas virus Covid-19 ini masuk ke dalam darah dan benda ini buat kerjalah. (menyebabkan kesakitan di bahagian lain),” tulisnya lagi.
Berdasarkan hantaran video pendek itu, doktor dilihat memberi satu suntikan ubat pada bahagian bahu Ashraf untuk merawat kesakitannya.
Netizen turut meninggalkan komen sambil mendoakan kesembuhan dan kesihatan untuk dirinya selain berterima kasih kerana berkongsi maklumat bermanfaat.
“Tidak apalah, kita redha dengan apa yang Allah berikan ini sebab Allah mahu kita ingat pada DIA selalu,” ujar Ashraf.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]