Jaket ala tentera Janet Jackson dilelong pada harga RM335,262

Jaket ala tentera Janet Jackson dilelong pada harga RM335,262

Jaket itu pernah dipakainya ketika jelajah konsert Rhythm Nation pada 1990.

Jaket ala tentera milik penyanyi, Janet Jackson. (Gambar Twitter JuliensAuctions)

Sehelai jaket ala tentera yang pernah dipakai penyanyi terkenal, Janet Jackson ketika jelajah konsert Rhythm Nation pada 1990, berjaya dilelong pada harga $81,250 (RM335, 262).

Menurut syarikat lelong Julien di Beverly Hills, California, harga lelongan itu melebihi 20 kali ganda berbanding anggaran harga dibuat ketika pra-jualannya.

Bagaimanapun, nama pembeli bertuah itu tidak didedahkan oleh syarikat berkenaan.

Jaket hitam yang dilengkapi dengan aksesori logam itu antara barangan utama lelongan kostum pentas yang dilakukan selama tiga hari itu.

Beberapa barangan memorabilia milik penyanyi itu sepanjang lebih empat dekad lalu turut dilelong dan Rhythm Nation adalah konsert pertama Jackson sebagai artis solo.

Menurut jurucakap Julien, mereka pada mulanya mengganggarkan jaket terbabit akan dilelong sekitar harga $4,000 (RM16,505) hingga $6,000 (RM24,758).

Manakala prototaip bagi jaket yang sama pernah dijual pada harga $21,875 (RM90,264) sebelum ini.

Pemenang Anugerah Grammy sebanyak lima kali yang baru saja menyambut hari lahir ke-55 pada Ahad lalu, berjaya menjual lebih 1,000 kostum yang pernah dipakai di pentas, ketika jelajah, acara karpet merah serta menerusi muzik videonya.

Selain itu, anting-anting besar dihiasi kunci yang dipakainya ketika jelajah konsert pada 1990 serta beberapa acara lain turut terjual pada harga $43,750 (RM180,527) pada Jumaat lalu.

Namun, pakaian kulit terkenalnya yang dikaitkan dengan insiden memalukan pada acara Super Bowl 2004 pula tidak disertakan dalam acara lelongan itu.

Sebahagian besar daripada hasil lelongan itu akan disalurkan untuk tajaan kanak-kanak Kristian menerusi pertubuhan Compassion International.

Jackson juga akan menyumbangkan 100 peratus hasil jualan tiga katalog edisi terhad yang ditawarkan pada harga $800 (RM3,300) kepada pertubuhan bukan kerajaan itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.