DJ lepas kempunan main muzik atas gunung

DJ lepas kempunan main muzik atas gunung

Pemuzik techno, Teho memperdengarkan muziknya di puncak pergunungan Alps dengan ketinggian 3,000 meter.

Walaupun gayat, Teho akhirnya berasa selesa memperdengarkan muziknya sambil berlatar belakang pemandangan indah. (Gambar Facebook)

Seorang pemuzik berentak techno yang kempunan untuk bermain muzik akibat pandemik, melakukan sesuatu di luar kebiasaan apabila memperdengarkan iramanya dari ketinggian 3,000 meter di puncak pergunungan Alps.

Pemuzik berusia 30 tahun itu, Teho, sanggup berhadapan dengan cuaca sejuk suhu bawah sifar untuk membuat persembahan di Glacier 3000, Scex Rouge iaitu sebuah gunung terletak di barat daya Switzerland.

Pada masa sama, dia cuba mengatasi rasa takut terhadap ketinggian yang dialami sebelum ini.

“Saya sebenarnya takut kepada ketinggian. Pada saat awal ketika berada di atas pentas yang tidak mempunyai penghadang, ia dianggap istimewa sekali sebelum melihat pemandangan indah di hadapan mata.

“Sebaik mula memainkan muzik, saya berasa semakin selesa dan boleh menikmati pengalaman itu,” katanya.

DJ yang berasal dari Montpellier, Perancis itu memberitahu, dia tidak pernah mengadakan persembahan di tempat unik apatah lagi dikelilingi beberapa gunung seperti Matterhorn, Mont Blanc dan Eiger.

Sekatan yang dilaksanakan akibat pandemik Covid-19 menyebabkan dia tidak dapat membuat persembahan di hadapan khalayak ramai sepanjang tahun lalu.

“Tahun lalu amat sukar sekali apabila semua kelab, festival dan parti terpaksa ditutup akibat Covid-19,” katanya.

Persembahan anjuran sebuah syarikat penstriman langsung, Le Cercle itu dirakam pada 23 April lalu sebelum diedarkan menerusi atas talian semalam.

Namun, ia bukan kali pertama konsert diadakan di Glacier 3000 kerana sebelum ini terdapat beberapa acara artistik dilakukan di situ untuk mempromosikan aktiviti bermain ski serta lokasi pergunungan.

Tahun lalu, seorang ahli akrobatik warga Switzerland, Freddy Nock berjalan di atas wayar kereta kabel di puncak pergunungan sambil menutup matanya.

“Kami berhubung dengan beberapa pemuzik terdiri daripada DJ yang ingin mengadakan persembahan dengan kami pada tahun ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Glacier 3000, Bernhard Tschannen.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.