Kamala Harris jadi Naib Presiden AS pertama mempunyai patung lilin di Madame Tussauds

Kamala Harris jadi Naib Presiden AS pertama mempunyai patung lilin di Madame Tussauds

Patung lilin Kamala Harris dan Joe Biden sedang disiapkan untuk pameran Pejabat Oval akhir tahun ini.

Pembuat arca, Vicky Grant sedang menyiapkan wajah Kamala Harris untuk patung lilin di London. (Gambar Merlin Entertainments)

Kamala Harris mencipta sejarah apabila menjadi Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) pertama yang mempunyai patung lilin dipamerkan di Muzium Lilin Madame Tussauds di New York.

Beberapa gambar tarikan terbaru di Times Square didedahkan pada Rabu lalu itu menunjukkan hasil kerja yang sudah disiapkan setakat ini membabitkan patung lilin Kamala dan Presiden AS, Joe Biden sempena 100 hari pentadbiran mereka.

Madame Tussauds dijangka mempamerkan dua patung lilin terbaru itu menerusi pameran ‘Pejabat Oval’ menjelang akhir tahun ini.

“Kami ingin memberi lebih fokus kepada senyuman dan kemesraan pada matanya. Kerlipan pada matanya sukar untuk ditiru dan kemesraannya amat penting untuk ditampilkan pada patung ini,” kata pengetua pembuat arca, David Burks.

Burks dan sepasukan pembuat arca Madame Tussauds di London bertungkus lumus menyiapkan bahagian kepala patung diperbuat daripada tanah liat sambil merujuk beratus keping gambar pemimpin terbabit.

Lazimnya, dia akan bertemu dengan subjeknya terlebih dulu sebelum menghasilkan patung lilin tetapi pandemik Covid-19 menghalangnya untuk berbuat demikian.

Ia menjadi satu tradisi buat bilik pameran Madame Tussauds di New York yang dibuka pada 2000 itu untuk mempamerkan patung lilin presiden AS dan Harris akan menjadi patung Naib Presiden pertama dipamerkan kepada umum.

Manakala Christopher John Rogers yang mereka pakaian Harris dalam majlis angkat sumpahnya sebelum ini akan mereka pakaian untuk patung terbabit sebaik ia dipamerkan di muzium.

Patung lilin pemimpin wanita itu akan lengkap dipakaikan dengan barangan kemas serta mutiara.

Menurut Burks, mereka mengambil masa enam minggu untuk menghasilkan pakaian untuk patung terbabit yang hanya akan siap lewat tahun ini.

Madame Tussauds dianggarkan memperuntukkan sekitar AS$300,000 (RM1.2 juta) bagi setiap patung lilin itu.

“Ia agak mahal tetapi kami cuba menghasilkan rupa yang asli supaya pengunjung boleh merasai pengalaman seakan bertemu mereka,” kata Burks.

Manakala patung lilin Biden pula akan dikenakan sut berwarna biru rekaan Ralph Lauren untuk meniru pakaian seakan sama dipakainya bersama tali leher ungu dan kemeja putih ketika majlis angkat sumpahnya sebagai Presiden.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.