
Bukan hanya di Indonesia, malah rakyat Malaysia turut berdukacita dan melahirkan rasa sedih di atas nahas yang menyayat hati itu.
Semalam dan hari ini ramai yang memuat naik status kesedihan dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta mendoakan roh kesemua anak kapal tersebut.
Para selebriti di Malaysia turut tidak ketinggalan. Ramai artis yang terkesan dan mengungkapkan rasa sedih melalui akaun Instagram masing-masing.
Antaranya penyanyi nombor satu negara, Dato’ Sri Siti Nurhaliza telah memuat naik video kapal selam tersebut bersama anak kapalnya.
Siti melahirkan rasa sedih dan mendoakan agar roh anak-anak kapal tersebut dicucuri rahmat.
“Al-Fatihah. Tenanglah dikau di sana wahai perwira negara. Jasamu pasti akan dikenang selalu. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin,” ungapnya bersama-sama video tersebut yang telah dilihat sebanyak 589,000 kali dan mendapat 856 komen setakat berita ini ditulis.
Pelakon dan penyanyi Erra Fazira turut memuat naik video kapal selam tersebut.
Erra turut melahirkan rasa sedih dan mengucapkan takziah kepada keluarga waris serta mendoakan roh anak-anak kapal yang terkorban.
“Innalillahiwainailaihirojiun. Allah maha mengetahui. Allah maha menyayangi. Berbahagialah kalian di syurga indah yang telah Allah janjikan buat kalian yang syahid.
“Salam takziah buat seisi keluarga. Kami turut berdukacita. Moga Allah mencucuri rahmat yang tertinggi buat mereka yang pergi. Al-Fatihah,” tulis Erra.
Beberapa jam yang lalu, pelakon Rita Rudaini juga memuat naik video anak-anak kapal KRI Nanggala 402.
“Al-fatihah. Di bulan yang mulia, mereka berpuasa di dunia dan berbuka di sana. Bertemu sang pencipta. #krinanggala402,” ungkapnya.
Sebelum berita yang mengatakan kesemua anak kapal terkorban, Rita turut memuat naik video mengenai kapal selam itu memohon doa agar kesemua kru selamat dan dapat pulang berhari raya bersama keluarga masing-masing.
Raja rock negara, Amy Search turut berdukacita dengan memuat naik gambar kapal selam KRI Nanggala 402 bersama kapsyen, “Kami turut bersedih dengan peristiwa yang begitu tragis ini dan sentiasa melekat di hati.
“Salam takziah buat semua keluarga di Indonesia. Semoga tabah melalui dugaan yang tak terpandangkan ini. Semoga Allah swt tempatkan kalian di syurga Firdaus bersama solihin,” ujarnya.
Selain itu beberapa selebriti lain dilihat turut memuat naik status yang sama seperti Elly Mazlin, Datin Alyah dan lain-lain.
KRI Nanggala 402 dilaporkan terputus hubungan pada 4.25 pagi Rabu lalu sebelum disahkan tenggelam pada kedalaman 838 meter, dipercayai pecah kepada tiga bahagian. Kesemua 53 anak kapal disahkan terkorban.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]