Britney Spears malu, menangis dua minggu

Britney Spears malu, menangis dua minggu

Pendedahan kisah kehidupan kerjayanya dalam Framing Britney Spears dianggap memalukan.

Britney Spears berasa malu dengan pendedahan hidupnya dalam Framing Britney Spears. (Gambar Reuters)

Penyanyi Britney Spears mengakui dia ‘menangis selama dua minggu’ selepas dimalukan dalam sebuah dokumentari berprofil tinggi yang mengisahkan perjalanan kerjayanya.

Dokumentari Framing Britney Spears yang ditayangkan pada bulan lalu menceritakan detik kejayaan serta kejatuhannya sebagai penyanyi pop popular.

Ia mendedahkan secara terperinci mengenai masalah mental yang dialaminya sekitar awal 2000 serta rawatan yang diterimanya, seperti terpampang di dada media tabloid selain krisis ‘konservator’ mengenai kewangan dan hal peribadinya sejak 2008.

Spears yang memberi reaksinya berkata, dia tidak menonton dokumentari itu namun apa yang dilihatnya bahawa ia meletakkan dirinya dalam keadaan memalukan.

“Saya menangis selama dua minggu, kadangkala saya menangis juga,” katanya.

Kenyataan itu dikongsi menerusi akaun Instagram milik penyanyi itu yang dimuat naik bersama video dia menari sambil mendengar lagu Aerosmith, Crazy dan turut meletakkan tag nama Steven Tyler.

“Kehidupan saya sentiasa menjadi bahan spekulasi, ditonton dan dihakimi sepanjang hidup. Demi kewarasan, saya perlu menari dengan lagu ini setiap malam untuk merasa lebih baik.

“Kehidupan saya terdedah kepada umum dengan membuat persembahan di hadapan orang ramai. Ia memerlukan kekuatan untuk meletakkan kepercayaan kepada dunia dengan kelemahan anda kerana ia akan sentiasa dihakimi, dihina dan dimalukan oleh media. Pada saat ini, saya masih berasa begitu,” ujarnya.

Menurutnya, dia akan melakukan apa saja yang terdaya dari segi untuk mencari kegembiraannya.

“Saya berasa gembira apabila dapat menari setiap hari. Saya bukan ingin menjadi seorang yang sempurna kerana kesempurnaan amat membosankan tetapi ingin menyebarkan kebaikan,” katanya.

Spears kini mempunyai kes mahkamah dengan bapanya berhubung kes ‘conservatorship’ selepas lelaki itu mengawal aspek kehidupannya termasuk hal kewangan penyanyi itu.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.