5 filem wajib tonton sempena pembukaan semula pawagam

5 filem wajib tonton sempena pembukaan semula pawagam

Selepas lama ditutup, masa untuk kembali menonton filem yang ditunggu-tunggu.

Filem Wonder Woman 1984 akan ditayangkan lebih lama disebabkan jadual terhad sebelum Perintah Kawalan Pergerakan. (Gambar Warner Bros)

Peminat filem di Malaysia kini boleh bergembira! Selepas beberapa bulan terperuk di rumah menonton filem lama di komputer riba dan televisyen, sudah tiba masa untuk beramai-ramai menyaksikan filem yang ditunggu-tunggu di pawagam.

Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang ditamatkan dan digantikan dengan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) bermula 5 Mac hingga 18 Mac ini membenarkan aktiviti panggung wayang beroperasi semula namun dengan ruang tempat duduk terhad.

Apa pun, ini adalah masa untuk anda keluar menikmati filem terbaru yang dikeluarkan. Ada beberapa filem yang sepatutnya ditayangkan sebelum ini kini boleh ditonton sepanjang bulan ini.

Jadi, apa tunggu lagi? Terus ke pawagam berdekatan untuk melihat filem apa yang ditayangkan:

1. Wonder Woman 1984

Filem superhero wanita ini sebenarnya sudah ditayangkan di beberapa pawagam terpilih sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 namun sebahagian besar peminat tidak dapat menyaksikannya kerana jadual tayangan agak terhad.

Kini, adalah masanya untuk menonton adiwira Amazon ini dalam tayangan terbaru DC Extended Universe ini.

Diana Prince atau Wonder Woman menjalani kehidupan yang agak tenang biar pun ketegangan Perang Dingin semakin meningkat.

Walaupun keinginannya untuk terus hidup dalam keadaan demikian, dia akhirnya terpaksa berjuang melawan seorang taikun kejam dan watak jahat.

Lebih merumitkan keadaan, kekasih Diana juga akan kembali daripada kematian dalam keadaan yang berlainan.

2. Raya and the Last Dragon

Raya and the Last Dragon adalah filem puteri Disney pertama yang mengambil inspirasi budaya daripada kisah mistik dan legenda di Asia Tenggara. (Gambar Disney)

Pastinya ini adalah kali pertama. Menerusi filem watak puteri Disney, Asia Tenggara menjadi sumber inspirasi untuk menghasilkan plot filem.

Inspirasi visual untuk filem ini dilaporkan diambil daripada beberapa negara seluruh rantau termasuk Malaysia dan tidak lupa juga, penulis bersamanya, Adele Lim adalah rakyat Malaysia.

Di dunia fantasi Kumandra, manusia dan naga saling hidup bersama sehingga mereka dilanda malapetaka besar.

Ketika cuba menyelamatkan dunia daripada ancaman raksasa bernama Druun, naga terbabit mengorbankan diri mereka demi kehidupan manusia.

Apabila Druun kembali menghantui, ia terserah kepada pahlawan Puteri Raya untuk mencari naga terakhir yang masih hidup dan menamatkan segala ancaman.

3. Stand by Me Doraemon 2

Kucing futuristik, Doraemon dan Nobita kembali dengan pengembaraan baru mereka dalam filem terbaharu. (Gambar Shin-Ei)

Doraemon pastinya watak kartun Jepun yang paling sinonim dengan rakyat Malaysia kerana terlalu popular di kaca televisyen tempatan.

Generasi Z dan millennial mungkin masih ingat ketika kartun yang dialih suara ke bahasa Melayu ini ditayangkan pada setiap Sabtu di NTV7 jam 7.30 malam.

Gelagat comel kucing biru yang boleh bercakap ini menjadi watak kesayangan ramai terutama apabila ia boleh mengeluarkan apa saja barangan dari poketnya.

Menerusi tayangan terbaharu ini, Nobita akan mengembara ke masa lampau untuk bertemu dan menghabiskan masa bersama neneknya.

Sementara itu, Nobita di masa hadapan risau mengenai dirinya yang tidak padan untuk dikahwinkan dengan Shizuka dan ia terserah kepada Doraemon untuk mengubah situasi itu.

4. Godzilla vs Kong

Pilih sendiri dua gergasi ini sama ada Godzilla atau Kong dalam filem terbaru MonsterVerse. (Gambar Legendary)

Filem yang dijadualkan untuk tayangan akhir bulan ini adalah filem terbaru daripada MonsterVerse mengenai Godzilla dan King Kong.

Ini bukan kali pertama dua gergasi ini bertemu kerana pernah ditayangkan dalam filem Jepun pada 1962, ‘King Kong vs Godzilla’.

Peminat filem yang tergila-gilakan filem aksi hidupan ganas mengamuk di seluruh bandar, tidak kurang juga babak letupan yang pasti menghangatkan suasana di pawagam.

Lanjutan daripada filem sebelum ini, Kong dan penjaganya mencari lokasi sesuai untuknya namun Godzilla muncul dan melakukan kehancuran di seluruh bandar.

Manusia tiada pilihan lain kecuali meletakkan kedua-duanya dalam satu pertarungan hebat.

5. Endgame

Andy Lau memainkan watak pembunuh upahan yang hilang ingatan dalam kemalangan dan secara tidak sengaja bertukar identiti. (Gambar Emperor Motion)

Siapa yang tidak kenal dengan bintang terkenal Andy Lau! Dia pernah sebaris dengan nama besar seperti Jacky Cheung, Aaron Kwok dan Leon Lai menerusi Four Heavenly Kings.

Usianya mungkin menghampiri 60 tahun namun masih segak serta mempunyai karisma tersendiri yang boleh membawakan apa saja watak.

Menerusi filem terbaru ini, dia memainkan watak pembunuh upahan profesional yang mengalami koma akibat terjatuh sebelum hilang ingatan.

Tanpa disedari, seorang pelakon teater yang kurang bernasib baik, mengambil identitinya dan mereka terpaksa melakukan kerjaya yang berbeza.

Pembunuh upahan yang hilang ingatan itu pula terpaksa menjalani hidup di atas pentas dan ia terserah kepada nasibnya untuk mengetahui apa cerita selanjutnya apabila dia mula mendapat kembali ingatannya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.