
Selepas berbulan-bulan desas-desus mengatakan perkahwinannya bermasalah, bintang realiti Kim Kardashian akhirnya dilaporkan memfailkan cerai terhadap suaminya, penyanyi rap Kanye West.
Perkara itu didedahkan laman web hiburan, TMZ, dengan laporan media Amerika turut menyatakan Kim, 40, memohon hak penjagaan bersama anak mereka.
Pasangan itu berkahwin hampir tujuh tahun dan mempunyai empat anak, termasuk dua yang dilahirkan ibu tumpang.
CNN memetik jurucakap Kardashian West, Christy Welder, mengesahkan perceraian itu.
Mereka antara pasangan selebriti paling terkenal di dunia dengan mencatat kejayaan dalam bidang masing-masing.
Kim pertama kali menjadi terkenal pada 2007 susulan kisah realiti mengenai keluarganya, Keeping Up With The Kardashians yang disiarkan rangkaian E! Siri itu masih popular dan bakal berakhir tahun depan selepas 21 siri.
Kim turut menceburi bidang perniagaan daripada aplikasi mobil sehingga mekap, malah Forbes menganggarkan kekayaannya sekitar USD780 juta, lapor BBC.
Sementara itu, Kanye antara nama besar dalam industri muzik rap sejak lebih 15 tahun lalu dan pernah memenangi anugerah Grammy, selain turut menceburi bidang fesyen.
Gambar ciuman pertama sebagai suami isteri ketika perkahwinan mereka di Itali pada Mei 2014 menjadi hantaran paling popular Instagram ketika itu.
Pasangan itu sering menjadi bahan tabloid.
Tahun lalu Kanye mencetuskan persoalan mengenai kesihatan mentalnya selepas gagal menjadi calon presiden Amerika, sebelum Kim akhirnya mendedahkan suaminya itu menghidap gangguan bipolar.
Pasangan itu dilaporkan tinggal berasingan sejak beberapa bulan lalu.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]