
Menurut laporan, keterangan diambil daripada pelakon dan pengacara, Jalaluddin Hassan, penyanyi, Siti Roziana Zain atau lebih dikenali Ziana Zain, dan Angkasawan Negara, Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, berkata keterangan mereka diambil hampir empat jam bermula 10 pagi tadi dengan mereka memberi kerjasama penuh.
“Kita boleh panggil semula mereka sekiranya kita masih memerlukan sebarang maklumat,” katanya kepada Astro Awani.
Terdahulu, pada sidang media, beliau memaklumkan SPRM memperluas skop siasatan termasuk meneliti jumlah bayaran diterima tiga selebriti yang menjadi menjadi pempengaruh kepada syarikat perunding kewangan itu.
Sebelum ini, media melaporkan beberapa selebriti dan artis yang menjadi duta menerima bayaran sehingga RM400,000.
SPRM berkata, selebriti berkenaan didakwa menerima bayaran bermula sekitar RM150,000 untuk tempoh satu hingga dua tahun sebagai duta syarikat.
Agensi antirasuah itu mendedahkan RM700 juta pinjaman bank diluluskan kepada peminjam yang kemudian terjerat dengan sindiket yang kononnya menawarkan bantuan kewangan, tetapi mengaut sekurang-kurangnya 35% daripada jumlah pinjaman diluluskan bank-bank pada satu masa.
Dalam operasi itu, 98 akaun syarikat dan individu bernilai lebih RM22 juta dibekukan SPRM.