
Tahun Baru Cina bakal menjelma dan masyarakat Cina di seluruh Malaysia pastinya begitu teruja bersiap sedia menyambut kedatangan Tahun Lembu ini.
Walaupun sambutan tahun ini tidak semeriah dahulu, tetapi itu bukan alasan untuk tidak meraikannya. Oleh kerana kita tidak dapat menyambutnya di luar, cara terbaik adalah dengan berehat di rumah sambil melayan beberapa filem klasik Tahun Baru Cina ini.
Tak perlu popcorn, tapi boleh saja nikmati tart nenas dan kuih kegemaran “love letters”. Apa lagi, jom mulakan tayangan sepanjang percutian ini.
1. The Ip Man
Filem lakonan Donnie Yen ini mengisahkan tentang lagenda seni mempertahankan diri Bruce Lee. Berkisarkan kehidupan sebenar beliau, filem-filem Yip Man, sememangnya penuh dengan aksi-aksi hebat.
Dengan adegan ikonik Ip Man menampilkan puluhan pelajar karate, atau guru-guru seni mempertahankan diri, beraksi penuh mendebarkan dengan dikoreografi begitu baik pastinya akan membuat mata anda hanya terpaku pada layar.
Selain dari aksi tendangan dan pukulan yang tangkas, watak Yen yang lebih gemar menghabiskan masa di rumah bersama keluarga amat digemari penonton.
2. Kung Fu Hustle

Tanyalah mana-mana pencinta filem China mengenai nama pelawak yang paling mereka gemari, dan besar kemungkinann mereka akan mengatakan Stephen Chow.
Tokoh yang sangat berbakat dalam industri filem China yang boleh berlakon, mengarah, menulis dan menghasilkan filem.
Dia turut menggabungkan pertempuran seni mempertahankan diri dengan komedi lucu untuk menghasilkan filem yang tidak dapat dilupakan.
Kung Fu Hustle secara meluas dianggap sebagai karya agungnya.
Di dalam filem ini, Chow melakonkan watak sebagai penjahat yang akhirnya terperangkap di tengah-tengah perseteruan antara komuniti penduduk dan Geng Axe yang jahat.
Bersiap-sedialah untuk terpukau dengan adegan pertarungan hebat dalam filem aksi ini, sambil dihiburkan dengan lawak spontan.
3. Mulan

Filem animasi Disney klasik yang digemari oleh kanak-kanak mahupun golongan muda ini sememangnya begitu popular satu ketika dulu.
Berdasarkan kisah lagenda Mulan, Hollywood telah menghasilkan kisah yang menarik juga menyentuh hati penonton.
Filem ini mengisahkan tentang gadis kecil Mulan yang sangat bersemangat mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan ayahnya dengan pergi berperang.
Walaupun hanya animasi kartun, skrip untuk Mulan ditulis dengan begitu kemas, tanpa melupakan rujukan budaya.
Filem ini juga memiliki beberapa trek suara terbaik yang hanya boleh ditemui dalam mana-mana filem Disney klasik seperti “Reflection” dan “I’ll Make a Man Out of You”.
4. Crouching Tiger, Hidden Dragon

Satu filem klasik wuxia China sepanjang masa, filem Ang Lee yang memenangi anugerah ini turut dibintangi oleh aktres Malaysia, Michelle Yeoh.
Filem ini turut dibintangi oleh pelakon hebat Chow Yun-fat yang melakonkan watak Li Mu Bai, memberikan pedang kepada kekasihnya (Yeoh) untuk dismpan.
Namun, pedang itu dicuri dan Li terpaksa mencarinya sehingga membawanya ke ‘perjalanan’ yang lebih jauh.
Terdapat banyak perkara hebat mengenai filem ini dan ia turut menjadi karya agung penggiat seni China sehingga diakui oleh penonton Barat.
Setiap adegannya begitu mengasyikkan sehingga walaupun anda terlepas salah satu adegan pertarungan, masih ada plot menarik yang pasti membuatkan anda terus teruja.
5. The Journey

Sebuah filem karya rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia. Filem ini adalah antara filem tempatan terlaris sepanjang masa.
Filem ini berkisar tentang Pakcik Chuan, seorang bapa yang konservatif, begitu terkejut apabila anak perempuannya membawa pulang tunangan Inggerisnya.
Di sebalik halangan budaya dan bahasa, dia dan bakal menantunya memulakan perjalanan untuk menyampaikan undangan perkahwinan mengikut adat masyarakat dahulu.
Halangan yang dilalui kedua-dua bapa dan bakal menantu ini, akhirnya perlahan-lahan bertukar apabila mereka mula belajar tentang pelajaran yang sangat berharga tentang menerima perbezaan antara satu sama lain.
Ini adalah kisah yang menyentuh hati tentang keluarga dan tradisi, yang ingin disampaikan kepada semua peringkat usia. Filem ini juga dibuat dalam perbelanjaan yang kecil tetapi mesej yang disampaikan amat besar kepada penonton.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]