
Seorang penyanyi rap, Lil Uzi Vert, mengejutkan peminatnya apabila berkongsi gambar dengan berlian merah jambu bernilai USD24 juta terbenam di dahinya.
Dalam hantaran di Instagram baru-baru ini, Lil Uzi, atau nama sebenarnya Symere Bysil Woods berkata di Twitter pada 30 Jan, dia membayar ansuran berlian itu sejak 2017.
Lil Uzi, 26, mendedahkan telah membayar ansuran berlian besar – dianggarkan 10 atau 11 karat – itu dari Eliantte & Co, malah mengakui nilainya jauh menjangkaui semua kereta dan rumah dimilikinya, lapor Daily Mail.
Eliantte adalah penjual barang kemas terkenal dalam kalangan selebriti khususnya penyanyi rap.
“Batu ini begitu mahal sehingga ansurannya baru dilunaskan sejak saya mula membayarnya pada 2017. Ketika itu memang kali pertama saya melihat berlian merah jambu asli,” katanya.
Selain itu Huffington Post mengongsikan video dinaikkan Lil Uzi di media sosial dengan keterangan ‘Kecantikan memeritkan’ menayangkan berlian itu dengan cincin yang sedondon.
Sementara itu, Lil Uzi turut berkongsi video di Instagram Story dengan mengakui dahinya masih bengkak malah menggerak-gerakkanya menggunakan jari.
Sementara itu, ketua pemasaran dan komunikasi Natural Diamond Council Lisa Levinson berkata berlian merah jambu antara yang paling jarang ditemui di dunia.
“Berlian sebesar yang dibenamkan di dahi Lil Uzi jauh lebih jarang ditemui dan hanya boleh diperolehi menerusi rumah bidaan atau penjual yang amat eksklusif,” katanya.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]