
“Selamat Hari Lahir Suamiku. Walaupun terpisah dunia tetapi rohnya sentiasa di sisiku. Aku percaya dia sentiasa menemaniku. Ini sedikit kenangan bersama Allahyarham suamiku saat-saatku mengandungkan anakku harta yang tidak ternilai Syed Uthman Hamzah,” ujar Nor Hidayah sempena kelahiran ke-33 tahun pelawak itu.
Menurut Hidayah dia akan terus berjuang meneruskan hidup dan membesarkan anak mereka, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey yang kini berusia setahun tujuh bulan menjadi anak yang soleh.
“Aku akan terus mendukung namamu dan menjadi bidadarimu hingga ke akhirnya.
“Aku akan terus kuat dan teruskan perjuangan untuk membesarkan anakku, terus mencari pahala untukmu dan kita kongsi pahala bersama-sama,” luahnya.
Kata Hidayah lagi, walaupun tidak menziarah pusara arwah suaminya, tidak bermakna dia melupakan Allahyarham. Tetapi setiap saat, masa dan detik dia akan sentiasa mendoakan arwah Abam di dalam sujudnya.
Menerusi hantaran di Instagram itu, Nor Hidayah turut memuat naik video yang memaparkan kenangan bersama Allahyarham.
Di dalam hantaran yang sama, Nor Hidayah turut berkongsi kegembiraannya yang sudah memiliki kedai sendiri untuk berniaga.
“Alhamdulliah, syukur pada Allah sekarang ku ada kedai sendiri berkat doa anda semua saya berjaya sampai sekarang.
“Terima kasih mak, abah, keluarga, saudaraku, kawan yang selalu menyokong dan mendoakan aku berjaya sampai sekarang ini. Susah senangku keluarga ku sentiasa ada bersamaku dan anakku,” katanya.
Nor Hidayah dan Allahyarham Abam melangsungkan perkahwinan pada 8 Dis 2017 dan mereka kemudiannya dikurniakan seorang putera Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey.
Allahyarham Abam atau nama sebenar Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan meninggal dunia pada 10 Feb tahun lalu selepas mengalami demam panas di kediamannya di Gombak, Selangor.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]