Perjuangan PKR di Sabah belum berakhir, kata Nurul Izzah

Perjuangan PKR di Sabah belum berakhir, kata Nurul Izzah

Timbalan presiden PKR itu berkata keputusan PRN mencerminkan sentimen rakyat terhadap isu tadbir urus, ketelusan, dan kepimpinan lokal.

Nurul izzah berkempen di sabah
Timbalan Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata mengambil tanggungjawab sepenuhnya atas keputusan buruk parti itu pada PRN Sabah semalam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menegaskan bahawa perjuangan parti itu di Sabah masih jauh daripada berakhir, dan menggesa ahli serta penyokongnya terus kekal dengan perjuangan mereka.

Nurul Izzah, yang juga pengarah bersama pilihan raya PKR, berkata kekalahan dalam pilihan raya sebelum ini tidak pernah menamatkan perjuangan untuk membela rakyat dan menegakkan keadilan, sambil menambah bahawa parti itu akan terus berdiri dan bekerja.

Beliau berkata PKR menghormati dan menerima keputusan rakyat Sabah di peti undi semalam, menyifatkannya sebagai ‘peringatan dan pengajaran’ buat parti.

“Keputusan ini turut mencerminkan sentimen rakyat terhadap isu tadbir urus, ketelusan, dan kepimpinan lokal.

“Mesej yang jelas bahawa ketidaksepakatan bukan sahaja melemahkan kekuatan politik, bahkan menghakis keyakinan rakyat terhadap keupayaan kita menawarkan kepimpinan yang stabil dan bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.

“Saya selaku timbalan presiden mengambil tanggungjawab sepenuhnya secara kolektif sebagai sebuah pasukan atas keputusan ini.”

Nurul Izzah berkata beliau dan Saifuddin Nasution selaku pengarah pilihan raya bersama, sedar bahawa perjalanan perjuangan parti bukan terletak pada kemenangan semata-mata, tetapi pada kesediaan untuk menginsafi kelemahan, memperbaikinya, dan bangkit semula dengan lebih baik.

“Perjalanan ini belum selesai. Selagi ada rakyat yang belum terbela, selagi ada keadilan yang belum ditegakkan, PKR akan terus berdiri, bekerja, dan berjuang,” katanya.

PKR meletakkan 12 calon dalam PRN itu namun hanya memperoleh satu kerusi, dengan Jamawi Jaafar, bekas pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah, memenangi kerusi Melalap.

Parti itu turut kehilangan dua kerusi tradisinya, Inanam dan Api-Api, yang dipegang sejak 2013.

PKR berdepan kesukaran selama bertahun-tahun untuk mengembangkan pengaruhnya melebihi dua kerusi berkenaan, yang berjaya dipertahankan dalam PRN 2020.

Parti itu juga memegang kerusi Parlimen Sepanggar, satu-satunya kemenangan daripada 10 kerusi yang ditandingi pada PRU 2022.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.