
“Disebabkan PKPB, golongan nelayan dan petani di kampung halaman kami hilang mata pencarian. Keadaan di sana sudah berubah 360 darjah sehingga menyukarkan kelangsungan hidup terutama bekalan makan seharian.
“Buat masa sekarang, kami cuba membantu semampunya terutama golongan asnaf, keluarga besar dan yang langsung tak boleh keluar rumah. Apa saja yang kami ada, kami salurkan secukupnya kepada mereka,” kata kumpulan yang dianggotai oleh tiga beradik Atu, Sharif, dan Syaiful ini.
Atu atau nama sebenar Sharif Kunal Doli Sharif, 28, berkata, disebabkan itu mereka berbesar hati untuk bekerjasama dengan mana-mana badan amal dalam misi menghantar bantuan di sana.
Terbaharu, mereka bekerjasama dengan badan amal IKHLAS dan menyeru orang ramai memberi sumbangan bagi misi itu selepas menyaksikan sendiri kesusahan penduduk di sana.
“Sekarang saya sendiri berada di kampung halaman. Saya menyaksikan kesusahan penderitaan terutama golongan nelayan yang tidak dapat turun ke laut langsung. Jadi, saya mohon marilah menyertai kami untuk bersama-sama meringankan kesusahan ditanggung mereka,” katanya.
Terdahulu, Atu dan isterinya Shafeeqa Johari, 34 mengambil inisiatif mengedarkan bantuan peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan petugas barisan hadapan di Semporna, Sabah.
Menurut Atu, bantuan tersebut dibuat selepas mendapat mesej peribadi dari penduduk daerah zon merah mengadu perlukan bantuan PPE.
Kumpulan pelawak popular Zero, adalah antara selebriti yang sering menjalankan kerja-kerja kebajikan sepanjang penularan pandemik Covid-19 ini.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]