Daging wagyu jadi lukisan

Daging wagyu jadi lukisan

Sebuah syarikat cenderamata mencipta semula lukisan Ukiyo-e menggunakan daging wagyu.

Lukisan Ukiyo-e bertajuk ‘Fine Wind, Clear Morning’ yang dihasilkan semula menggunakan daging wagyu. (Gambar soranews24.com)

Lukisan Ukiyo-e adalah salah satu cabang seni yang terkenal di Jepun, bukan hanya menerusi kehalusan seninya tetapi juga kaedah penghasilan unik yang menggunakan cetakan pada blok kayu.

Kertas akan ditekap beberapa kali pada blok kayu sebelum terhasilnya satu lukisan indah yang menjadi koleksi masyarakat Jepun pada zaman dahulu.

Bagi memastikan seni lama itu tidak ditelan zaman, sebuah syarikat cenderamata cuba mencipta kelainan dengan menggabungkan elemen kulinari dengan lukisan Ukiyo-e.

Apa yang dilakukan syarikat Hitotema itu ialah, mereka mencipta semula beberapa lukisan terkenal dengan menggunakan daging wagyu.

Mereka menggunakan daging wagyu Omi, Kobe dan Matzuka yang diiktiraf antara daging wagyu terbaik di Jepun.

Sesuai dengan warna kemerahan daging Omi, lukisan cenderamata pertama yang ditempatkan dalam Galeri Art Beef adalah bertajuk ‘Fine Wind, Clear Morning’.

Ia adalah sebahagian daripada siri karya ‘Thirty-six Views of Mount Fuji’ yang terkenal dihasilkan oleh seorang artis terkenal, Hokusai.

Cenderamata lukisan ini bukan saja nampak ‘enak’ pada pandangan mata tetapi juga lazat dinikmati kerana didatangkan bersama daging mewah berkenaan.

Ia didatangkan bersama daging wagyu seberat 700 gram dan dipilih secara teliti oleh beberapa chef di Hyotanya, iaitu sebuah restoran daging terkenal di Omi Hachima.

Bagaimanapun, setakat ini, hanya lukisan itu saja yang dikeluarkan untuk dijual kepada orang ramai dan selepas ini terdapat satu lagi karya legenda Ukiyo-e bertajuk Hiroshige akan ditawarkan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.