
Tidak dinafikan, banyak ciptaan yang dihasilkan pada zaman dulu menjadikan kehidupan kita lebih mudah dan ia juga berevolusi sehingga kini.
Seorang pereka menjadikan hasil ciptaan beratus tahun lalu sebagai sumber inspirasi untuk menghasilkan gincu wanita berbentuk sekeping kad.
Ciptaan itu sekali gus membolehkannya muncul juara dalam satu pertandingan rekaan di China.
Yuru Zhang mahu menampilkan kelainan dalam rekaan produk itu memandangkan gincu yang didatangkan dalam bentuk tiub dianggap terlalu biasa.
Dia berhasrat untuk menghasilkan rekaan di luar kotak dan langsung tidak mahu ia menyamai gincu tiub dicipta oleh Maurice Levi pada 1915 itu.
Sebagai gantinya, dia tampil memperkenalkan gincu nipis berbentuk seperti kad iaitu inspirasi daripada kertas direndam dengan pigmen warna yang pernah digunakan wanita Cina sebagai gincu sejak berabad lalu.
Ia dikenali sebagai Yanzhi kerana balsam muka berwarna merah menjadi bahan utama untuk solekan bibir ketika zaman imperial China.
Bagaimanapun, inovasi pereka terbabit lebih ringkas apabila pengguna hanya perlu menolak keluar kertas untuk dikepit pada bibir sebelum menolaknya ke dalam selepas menggunanya.
“Saya mendapat inspirasi daripada gincu bibir yang pernah digunakan pada zaman Cina Kuno. Yanzhi adalah gincu dari zaman itu dan ia agak unik.
“Apa yang membezakannya ialah kami ingin menjadikan produk zaman dulu itu lebih sesuai digunakan pada masa kini,” katanya.
Sehingga kini, tidak dapat dipastikan sama ada rekaan itu akan menjadi satu produk untuk dikomersialkan.
Walaupun sekadar prototaip, mungkin ramai bersetuju dengan rekaan itu dan ia boleh dianggap sebagai nafas baru dalam melakukan inovasi terhadap produk berkenaan.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]