
Setiap wanita sentiasa inginkan kulit tegang dan bercahaya. Namun, ia mustahil untuk dimiliki, lebih-lebih lagi jika kamu memiliki kulit kering.
Namun sejak akhir-akhir ini, viral di TikTok satu teknik penjagaan kulit yang dipanggil ‘slugging.’ Ramai warga TikTok yang mencuba dan berkongsi hasil kejayaan masing-masing menerusi trend penjagaan kulit wajah baharu ini!
Kulit wajah kelihatan tegang bercahaya bagaikan ‘glazed donut.’
Jangan risau, anda tidak memerlukan ‘slug’ (sejenis siput) sebenar untuk melakukan ‘slugging’ ini.
Sebaliknya, anda hanya memerlukan ‘ejen pelembap’ yang bertindak mengunci lembapan pada wajah.
Apa itu slugging?
Korea memang terkenal dengan pelbagai kaedah atau teknik penjagaan kecantikan. Bermula dari hujung rambut sehinggalah ke hujung kaki.
Sebenarnya teknik slugging ini juga adalah salah satu trend K-beauty terkini mereka. Hanya dengan menyapukan salap berasaskan petrolatum atau lebih dikenali sebagai petroleum jelly pada wajah.

Ia mudah dimiliki, Vaseline adalah antara produk petroleum jelly yang popular di pasaran.
Apakah kelebihan slugging?
Ia bertindak sebagai ejen pelembap di mana satu lapisan nipis petroleum jelly yang disapu pada wajah bertindak sebagai pelindung kulit.
Slugging bertindak memperbaiki kulit dengan memelihara ejen pelindung kulit di samping meminimumkan kehilangan air pada lapisan kulit dengan memerangkap lembapannya.
Siapa yang sesuai melakukan kaedah slugging?
Slugging sangat sesuai dilakukan oleh individu yang mempunyai kulit kering dan kulit matang. Seiring dengan usia, kulit akan hilang kemampuan untuk mengekalkan lembapan.
Malah, bagi individu yang mengalami kulit eczema juga sesuai mencuba teknik ini bagi membantu memperbaiki ejen pelindung kulit yang terjejas.
Pakar kulit menyarankan agar tidak melakukan kaedah slugging pada setiap malam. Sebaliknya jadikan ia sebagai teknik penjagaan wajah mingguan.
Adakah ia mempunyai kesan sampingan?
Ya! Lebih-lebih lagi bagi individu yang mempunyai masalah kulit berjerawat disebabkan pemakaian pelitup muka, kulit berminyak dan kombinasi.
Kaedah ini boleh menyebabkan pori tersumbat sehingga meningkatnya pertumbuhan jerawat dan ia boleh memburukkan lagi keadaan kulit wajah individu.
Jika anda melakukannya secara kerap, ia boleh mengundang masalah ‘milia’ di mana terdapat pertumbuhan cysts kecil yang mengandungi keratin mati di dalamnya.
Apakah cara terbaik untuk mencuba trend slugging?

Jika anda ingin mencuba slugging, tambah teknik ini secara berperingkat dalam rutin penjagaan wajah anda. Ianya perlu dilakukan sebagai langkah terakhir dalam rutin malam penjagaan kulit wajah.
Setiap kali anda mencuba langkah baharu dalam rutin penjagaan wajah harian, pastikan hanya sapu lapisan nipis salap berasaskan petroleum seperti Vaseline atau Aquaphor.
Lakukannya 30 minit sebelum tidur, jadi salap tersebut tidak melekat pada bantal anda nanti! Pastikan hanya sapuan tipis sahaja. Tidak perlu sapuan yang tebal untuk memperlihatkan hasilnya!
Kekerapan slugging?
Sebenarnya ia sangat bergantung kepada keadaan atau jenis kulit individu. Jika anda memiliki kulit yang sangat kering, anda memerlukan penjagaan yang lebih khususnya sewaktu berada lama di tempat yang bersuhu sejuk. Jadi trend slugging ini boleh dilakukan secara kerap.
Tetapi jika anda memiliki kulit dari kategori berminyak, sebaiknya jangan melakukan trend ini. Memadai jika memakai petroleum jelly hanya di bibir sahaja.

Pakar Dermatologi terkenal Malaysia yang juga pengasas Medi-I Skin Studio dan SkynFyx, Dr Lim Ing Kien atau lebih dikenali sebagai Dr. Ingky ada berkongsi tentang kaedah slugging ini di akaun TikToknya.
Bagi yang inginkan kepastian, bolehlah singgah ke TikTok dr ingky
SoCantik.my adalah sebuah portal berita kecantikan sosial diilhamkan untuk berkongsi pelbagai informasi serta berita terkini tentang dunia kecantikan, gaya hidup dan fesyen lokal mahupun antarabangsa.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]