
Seorang wanita Singapura yang meninggal dunia akibat barah paru-paru enggan membenarkan pengebumiannya menjadi suatu upacara yang sugul dan suram.
Oleh itu, dia memutuskan untuk mengatur pemberian tiket loteri percuma kepada mereka yang hadir untuk memberi penghormatan terakhir kepadanya.
Berdasarkan laporan Shin Min News Daily, Evelyn Hoi, 38 secara peribadi merancang setiap perincian pengebumiannya, termasuk hiasan di dewan berkabung yang dipenuhi belon berwarna-warni.
Suami Evelyn, Royston Lim, berkata dia mula mengalami sakit dada pada Jun lalu dan pemeriksaan mengesahkan dia menghidap kanser paru-paru peringkat akhir.
“Dia tidak minum atau merokok, dia menjalani kehidupan yang sihat. Sebelum menjalani pemeriksaan mendiang sekadar batuk-batuk.
“Dia menyangka ia hanya batuk biasa dan tidak memberi perhatian kepadanya,” katanya.
Keluarga Evelyn turut mengarahkan tetamu untuk membawa teh boba sebagai persembahan untuk upacara doa, kerana dia cukup menggemari teh boba.
“Kami mengikut rancangannya, menunjukkan lakaran hiasan, termasuk warna yang dia mahukan,” tambah Lim.
Sebelum kematiannya, Evelyn meluangkan masa untuk membahagikan beg berjenama dan barang kemas miliknya kepada rakan-rakan dan keluarga sebagai kenang-kenangan.
Mendiang turut menulis surat perpisahan enam jam sebelum meninggal dunia, walau dalam keadaan yang tidak selesa. Satu-satunya perkara yang membuat dia terkilan adalah tidak dapat melancong akibat perintah sekatan.
“Berkahwin dengannya adalah perkara paling bertuah yang pernah berlaku dalam hidup saya,” kongsi Lim.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]