Pesakit kanser berusia 5 tahun perlu dana untuk rawatan

Pesakit kanser berusia 5 tahun perlu dana untuk rawatan

Nur Zara perlu dirawat dengan ubat imunoterapi Qarziba, yang menelan kos kira-kira RM232,000 bagi rawatan neuroblastoma tahap-4.

nurzara
Nur Zara yang berusia lima tahun menghidap neuroblastoma tahap 4, sejenis kanser saraf. (Gambar CCEP Foundation)
PETALING JAYA:
Duka menyelubung Nora sekeluarga apabila si kecil mengalami kelumpuhan pada kaki dan demam berjeda, tahun lepas.

Nora, 31, seorang suri rumah di Cheras, membawa Nur Zara ke klinik namun pemeriksaan x-ray tidak mengesan sebarang kecederaan, lantas doktor hanya memberikan ubat untuk meredakan demam.

“Seminggu kemudian demam sembuh dan Zara boleh berjalan semula. Tetapi tidak lama selepas itu dia demam kembali, dan kakinya lumpuh sekali lagi.

“Doktor mendiagnos keadaan itu sebagai tonsillitis dan memberikan antibiotik, tetapi demam tidak reda,” kata Nora.

Pada 16 Jun tahun lalu, Nora membawa anak perempuannya itu ke Hospital Besar Kuala Lumpur, dan doktor mengesyaki anemia kerana tahap hemoglobin kanak-kanak itu rendah.

Dua hari kemudian, Zara mengadu sakit tulang belakang. “Zara sakit sangat teruk sehingga tidak boleh tidur dan dia masih demam. Zara dimasukkan ke hospital dan berada di situ selama hampir dua bulan,” kata Nora.

Ujian lanjut mengesan keberadaan neuroblastoma tahap-4, sejenis kanser yang bermula dalam sel saraf, dalam tubuh Zara, kini berusia lima tahun.

Barah itu telah merebak ke tulang belakang Zara, menyebabkan sebahagiannya patah, manakala MRI mengesan ketumbuhan utama terletak dalam perut, berhampiran kelenjar adrenal.

“Pada 26 Julai, Zara menjalani pembedahan untuk membuang tumor dan kateter dimasukkan dalam pembuluh darah vena (central venous catheter),” kongsi Nora. “Zara mula rawatan kemoterapi pada 7 Ogos.”

Pada September, Zara memulakan siri pemindahan sumsum tulang. Bulan depan, dia akan memulakan rawatan radioterapi, diikuti pengambilan ubat Qarziba pada Februari. Ubat imunoterapi itu digunakan untuk merawat neuroblastoma berisiko tinggi pada pesakit berumur 12 bulan dan ke atas.

family
Nur Zara dan ibu bapanya bersama Ketua Pegawai Eksekutif CCEP Foundation, Yvonne Lee. (Gambar CCEP Foundation)

Memandangkan ubat itu diimport, ia sangat mahal: Rawatan Zara yang memerlukan 10 botol Qarziba akan menelan kos kira-kira RM232,000.

Bagi meringankan beban kewangan keluarganya, Nora dibantu oleh CCEP Foundation, sebuah yayasan yang membantu golongan miskin, memerlukan, serba kekurangan dan kurang bernasib baik. Ketua Pegawai Eksekutif Yvonne Yee menekankan betapa penting dana dikumpul secepat mungkin untuk ubat Zara.

“Kami berharap orang ramai bermurah hati untuk menyumbang bagi membantu Zara melalui masa sukar ini. Dia baru berusia lima tahun, dan kami berharap individu yang baik hati akan memberinya peluang untuk menjalani kehidupan baharu,” katanya kepada FMT Lifestyle.

Yee menambah, setakat 24 Nov, mereka telah mengumpul RM15,000.

Dalam pada itu, Zara berada dalam keadaan agak stabil, menurut Nora, “tetapi dia perlu pakai kas badan (body cast) untuk sokongan sepanjang hari yang hanya akan ditanggal semasa tidur.”

Zara juga tidak dapat ke sekolah kerana perlu menjalani ujian darah di hospital setiap dua hari.

Nora berharap orang ramai terdetik hati untuk menyumbang untuk keperluan ini. “Kami hanya mempunyai seorang anak perempuan, dan kami melakukan yang terbaik untuk merawatnya.”

Sekiranya anda ingin membantu Zara, sumbangan boleh disalurkan terus ke CCEP Foundation, menerusi nombor akaun bank RHB 2621 9300 009 342. Sila gunakan ‘Nur Zara’ sebagai rujukan.

Jika anda memerlukan resit, sila hantar mesej WhatsApp kepada mereka.

Klik sini untuk maklumat lanjut mengenai CCEP Foundation, atau hubungi 03-7955 9999 / 010-279 8849.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.