
Cuaca redup berlatarkan kibaran Jalur Gemilang separuh tiang di sekitar bangunan berhampiran Masjid Negara mengiringi perjalanan terakhir Abdullah, yang meninggal dunia 7.10 malam semalam di Institut Jantung Negara pada usia 85 tahun.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kediamannya di Bait Badawi, Persiaran Tuanku Jaafar di sini malam tadi sebelum dibawa ke Masjid Negara pada 8.15 pagi tadi bagi urusan pengebumian.
Seawal 10 pagi, ribuan rakyat tanpa mengira kaum serta usia, termasuk pemimpin tertinggi dari dalam dan luar negara hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham, negarawan ulung yang terkenal dengan gelaran “Mr Nice Guy”.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin antara yang berkenan berangkat hadir memberi penghormatan kepada Abdullah.
Hadir sama Yang Dipertua Melaka, Mohd Ali Mohd Rustam dan Yang Dipertua Sabah, Musa Aman.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim, empat bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Najib Razak, Muhyiddin Yassin serta Ismail Sabri Yaakob, Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof, barisan menteri, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar serta bekas perdana menteri Singapura Lee Hsien Loong turut hadir di Masjid Negara untuk memberi penghormatan terakhir.
Isteri Allahyarham, Jeanne Abdullah, anak perempuannya, Nori bersama suami yang juga bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin antara ahli keluarga berada di samping jenazah Abdullah sepanjang upacara penghormatan terakhir di ruang solat utama Masjid Negara.
Anwar bersama ribuan umat Islam kemudian memenuhi segenap ruang solat utama itu untuk menyertai solat jenazah yang dilaksanakan selepas solat zuhur dengan dipimpin Imam Besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Hosni.
Selepas solat jenazah, keranda membawa jenazah Abdullah yang dilitupi Jalur Gemilang diusung ke Makam Pahlawan oleh kumpulan pengusung terdiri daripada pegawai tentera dan polis, antara simbolik penghormatan Istiadat Pengebumian Negara yang diberikan kepada Allahyarham.
Ehsan turut menyempurnakan bacaan talkin pada istiadat itu selepas jenazah Abdullah disemadikan.
Abdullah ialah pemimpin kelima dikebumikan di Makam Pahlawan selepas Perdana Menteri kedua Abdul Razak Hussein, Perdana Menteri ketiga Hussein Onn, selain dua bekas timbalan perdana menteri, iaitu Dr Ismail Abdul Rahman dan Abdul Ghafar Baba.