Selamat tinggal Kilat, si peneman setia SJR

Selamat tinggal Kilat, si peneman setia SJR

Kilat seekor kucing jalanan berwarna coklat yang setia menemani anggota polis dan Rela sejak lebih setahun lalu kini terpaksa berpisah dengan petugas barisan hadapan itu.

Sarjan Budian Saf Taib, dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, mengakui sedih berpisah dengan seekor kucing jantan bernama ‘Kilat’ kerana ia telah bersama mereka sejak mula bertugas di SJR. (Gambar Astro Awani)

Penutupan sekatan jalan Plaza Tol Utara (SJR) di Alor Setar pada Isnin, jam 12 tengah malam, 10 Oktober lalu mencetus perasaan bercampur baur bagi 15 pegawai polis dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Ini kerana mereka terpaksa berpisah dengan seekor kucing yang setia menemani mereka di SJR tersebut sejak lebih satu tahun lima bulan lalu.

Berdasarkan laporan Astro Awani, Sarjan Budian Saf Taib, 37, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar, mengakui saat berpisah dengan seekor kucing jantan bernama ‘Kilat’ sangat menyedihkan kerana ia telah bersama mereka sejak mula bertugas di SJR.

Kucing itu tak ubah seperti pendamping dan penghibur mereka setiap hari.

Tambahnya sifatnya yang manja, penyayang dan patuh, sangat disukai semua pegawai dan berbanding semua kucing yang ada di sana, Kilat berjaya mencuri hati semua orang.

“Kucing itu bersama kami sejak pertama kali perintah sekatan dilaksanakan, kami tidak tahu dari mana ia datang.

“Kami ada makanan untuk Kilat dan ia terus menjadi teman kami di sana,” katanya.

Namun, malangnya mereka terpaksa meninggalkan Kilat sebaik sekatan jalan raya itu ditutup dan sebelum perkara itu berlaku seorang pemilik baru perlu dicari untuknya.

Mohd Hadi Hashim, 38, seorang petugas di Bahagian Elektrik Jabatan Kerja Raya Kedah (JKR), berkata dia tidak menyangka kucing berwarna coklat itu akan menjadi miliknya setelah polis menyerahkan Kilat kepadanya.

“Saya datang ke sini untuk menolong mereka berkemas, dan terus ditawarkan untuk menjadi pemilik baru kucing itu. Saya terus bersetuju,” katanya.

Menurutnya, dia lega sebaik mengetahui kucing jalanan yang menjadi teman setia kepada pegawai dan sukarelawan sepanjang menjaga keselamatan orang ramai ketika wabak, kini ada tempat berlindung.

“Kini, setiap kali rindu kepada Kilat, mereka tahu di mana untuk menjenguknya!” ujar Mohd Hadi.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.