Mangsa SUV jatuh gaung dalam perjalanan pulang urus persiapan kahwin

Mangsa SUV jatuh gaung dalam perjalanan pulang urus persiapan kahwin

Ibu mangsa berkata polis memaklumkan terdapat baju pengantin dalam kenderaan dinaiki anaknya ketika SUV itu terjatuh ke gaung.

Keadaan SUV yang jatuh ke gaung di KM52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah) di Kuala Berang semalam. (Gambar Bernama)
KUALA BERANG:
Ibu kepada pengusaha kantin yang maut dalam nahas di KM52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah) di sini, semalam memaklumkan anaknya dalam perjalanan pulang ke Lebir, Gua Musang bersama pasangannya selepas membuat persiapan majlis perkahwinan di Terengganu.

Fauziah Mahmood, 58, berkata menurut pihak polis, terdapat baju pengantin dalam kenderaan dinaiki anaknya, Suzaimah Che Azis, 34, bersama Hassan Shazali, 52, ketika kenderaan utiliti sukan (SUV) itu terjatuh ke gaung.

Menurutnya, Suzaimah bagaimanapun tidak memaklumkan kepadanya akan ke Terengganu ketika kali terakhir beliau berhubung dengan anaknya kira-kira 11.30 pagi semalam.

“Biasanya, Ja (Suzaimah) akan maklumkan saya dahulu kalau nak ke mana-mana. Namun, pada hari kejadian, arwah cuma telefon untuk bincang soal barang-barang di kantin.

Fauziah Mahmood menunjukkan gambar anaknya Suzaimah Che Azis yang maut dalam nahas di Kuala Berang semalam. (Gambar Bernama)

“Pada awalnya, saya mendapat berita kematian daripada jiran, tetapi rasa macam tidak percaya sehinggalah polis menelefon dan memaklumkan kira-kira 7.30 malam semalam,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Hulu Terengganu di sini.

Beliau berkata, mangsa yang mempunyai tiga anak berusia tujuh hingga 15 tahun daripada perkahwinan terdahulu merancang membuat majlis kecil-kecilan pada 25 Dis ini dengan menjemput ahli keluarga terdekat.

“Antara persiapan telah dibuat ialah lima dulang hantaran. Kalau ikutkan, 20 Dis ini keluarga sebelah lelaki akan ke rumah untuk berbincang lanjut, tetapi tak sangka jadi begini,” katanya sambil memaklumkan jenazah Suzaimah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Lebir, Gua Musang, petang ini.

Sementara itu, isteri kepada Allahyarham Hassan, Che Norhashimah Hassan, 50, terkejut dihubungi polis memaklumkan kejadian itu kira-kira 8 malam tadi.

Beliau berkata, suaminya penolong kanan kokurikulum di Sekolah Kebangsaan (SK) Lebir dan mereka kini dalam proses perceraian serta hampir tiga bulan tinggal berasingan.

“Arwah adalah guru dan ayah yang baik. Walaupun sedih, saya reda dengan pemergiannya dan berdoa semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang beriman.”

Norhashimah yang juga guru berkata, jenazah suaminya akan dikebumi di Tanah Perkuburan Kampung Kedai Menanti di Pasir Puteh, Kelantan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.