
Seorang pemburu Amerika Syarikat (AS), Shane Smith terkejut selepas menemui mata anak panah kuno di dalam perut buaya sepanjang 4 meter ketika melakukan pembedahan.
Buaya itu dibawa kepada Smith untuk diperiksa selepas berjaya ditangkap oleh pemburu John Hamilton, menurut akhbar British, Daily Star.
Pada mulanya Smith menyangka buaya itu tertelan anak panah baharu, namun apa yang mengejutkan, imej yang diteliti seorang pakar geologi dari Mississippi mendapati objek tersebut berusia antara 5000 hingga 6000 tahun.
“Kami membedah perut buaya itu untuk melihat apa yang ada di dalam perutnya,” kata Shane di laman Facebook miliknya.
Pakar sejarah berkata mata anak panah patah yang dijumpai di dalam perut reptilia itu adalah peralatan yang digunakan untuk memburu oleh orang asli di Amerika Utara pada era kuno.
Selain penemuan arkeologi, mereka turut menemui tulang ikan, bulu dan bebola rambut.
“Pada mulanya, saya tidak terfikir untuk berkongsi kisah ini di Facebook kerana tiada siapa yang akan mempercayainya,” kata Smith kepada Mississippi Clarion Ledger.
Namun, dia kemudian berubah fikiran dan menyedari penemuan itu sangat hebat.
“Kami melawak tentang penemuan itu mengatakan saya mungkin satu-satunya manusia di dunia yang menemui mata anak panah dalam perut buaya,” katanya berjenaka.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]