
Obing Markum berusia 30-an dari Kampung Batu Putih, Sandakan, dipercayai ke sungai menjala ikan kira-kira 4 petang Isnin, sebelum perahunya ditemui penduduk dengan kesan gigitan disyaki buaya dua jam kemudian.
Sepupu mangsa, Sabturani Omar yang ditemui di lokasi kejadian berkata, mereka bergegas ke lokasi selepas dimaklumkan penduduk.
“Ketika itu, ada yang nampak perahunya bergerak macam dilibas ekor buaya, tapi tiada orang di situ. Selepas itu kami mula mencari sehingga malam, tetapi tidak menemuinya sebelum membuat laporan polis,” katanya menurut Berita Harian.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jimmy Lagung, berkata lima anggota bergegas ke lokasi untuk mencari mangsa selepas menerima panggilan polis pada 8.50 pagi tadi.
“Operasi mencari masih dilakukan. Setakat ini, mangsa belum ditemui.”
Beberapa kes serangan buaya di kawasan sungai dekat Taman Kenari, Batu 7 direkodkan, dengan kejadian terakhir pada September 2022 membabitkan seorang lelaki menyeberang sungai menggunakan rakit buatan sendiri.