
Akibat tamak, seorang lelaki sanggup menyembunyikan mayat ibunya di bilik bawah tanah selama lebih setahun kerana mahu terus menerima bayaran pencennya, kata polis Austria.
Difahamkan wanita berusia 89 tahun yang dilaporkan menderita demensia, meninggal dunia akibat sakit tua pada Jun tahun lalu.
Anak lelakinya yang berusia 66 tahun, dikatakan meletakkan mayatnya di bilik bawah tanah dan menggunakan ketulan ais dan kain pembalut untuk menutup bau.
Polis percaya setakat ini lelaki itu telah menerima bayaran secara tidak sah berjumlah kira-kira RM241,000 (£ 42,000).
“Penipuan itu akhirnya terbongkar setelah seorang posmen baru yang ditugaskan menghantar wang faedah kepada wanita itu di wilayah Tirol barat tidak dibenarkan bertemu dengannya,” kata polis dalam satu kenyataan.
Satu siasatan mula dijalankan yang membawa kepada penemuan yang mengerikan itu.
Polis memberitahu stesen penyiaran ORF, suspek turut menggunakan najis kucing untuk menutup bau mayat ibunya.
“Pada dasarnya, mayat itu dimumikan,” kata pegawai Helmuth Gufler, sambil menambahkan lelaki itu turut mengakui perbuatannya.
Menurut Gufler, lelaki itu tidak mempunyai pendapatan lain. Bayaran itu akan segera dihentikan sekiranya kematian ibunya dilaporkan dan dia tidak mampu membayar kos pengebumian ibunya atau kediaman mereka itu.
Jelas suspek, dia memberitahu abangnya, ibu mereka sedang menerima rawatan di sebuah hospital.
Dalam keadaan sedemikian dia tidak wajar diziarahi kerana ibunya kini sudah tidak mampu mengenalinya, lapor ORF.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]