
Perkongsian seorang doktor haiwan di akaun TikTok drima_vet miliknya mengenai cara berdepan sekumpulan anjing cukup informatif dan sangat menarik.
Hakikatnya, bercakap memang mudah. Mahu tahu langit tinggi atau rendah, cuba letak diri dalam situasi sebenar.
Menerusi perkongsian video berdurasi 1 minit 13 saat itu, doktor yang turut ditemani suaminya itu dilihat berkunjung ke sebuah kediaman berpagar yang dipenuhi puluhan anjing.
Melihat suaminya hanya sanggup menunggu di luar pagar, beliau menggariskan beberapa langkah terbaik yang dapat membantu ketika berdepan keadaan sama.
“Jika anda berhadapan dengan anjing yang tidak dikenali atau liar apa yang perlu anda lakukan?”, ujarnya.
- Bertenang, jangan panik, jangan takut.
- Baca bahasa tubuh anjing itu.
- Elakkan dari memandang ke arah matanya. Jangan tenung mata anjing secara tepat, renungan tepat ke mata boleh dianggap ancaman.
- Kalau ada anjing datang dekat, jangan bergerak, abaikan saja. Biarkan mereka datang kepada anda dari kita terus pergi terjah mereka. Jangan lari.
- Anjing akan berpaling atau berlalu pergi sebagai tanda hormat. Aman. Teruskan perjalanan.
Demikian antara langkah ringkas yang dikongsi doktor haiwan tersebut.
Apa yang melucukan, video yang menerima lebih 1.1 juta tontonan itu mengundang maklum balas cukup melucukan dalam kalangan warganet.
Selain berkongsi petua dan alasan mereka yang tersendiri, kebanyakan warganet lebih rela lari tak cukup tanah dari berdepan anjing-anjing yang garang.
“Sebelum awak bagi langkah-langkah ini, saya dah hilang dari radar,” kata ini aku.
“Kalau jumpa banyak macam ni, langkah 1 pun dah tak ingat,” kongsi eby yupp.
“Abang tak boleh, banyak giler yank, saya faham perasaan kamu,” usik Wan Jota merujuk suami doktor tersebut yang lebih rela duduk di luar kediaman tersebut.
“Saya bukan nak cakap besar kak, saya pernah macam ni. Saya masuk rumah uncle tu, anjing menyalak, saya menyalak balik tapi time tu saya kat atas pokok la,” balas Apit melawak.
“Tak apelah doktor, doktor jalanlah situ, saya ikut jalan lain,” ujar DIAMOND jujur.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]