
Seorang ibu yang meninggalkan anak perempuan berumur 20 bulan di rumah sehingga mati kelaparan kerana berpesta selama enam hari, dipenjara sembilan tahun.
Menurut polis, itu bukan kali pertama Verphy Kudi, 19, meninggalkan bayinya sendirian di rumah. Malah sepanjang dua bulan sebelum kematian Asiah, ibunya pernah meninggalkannya sebanyak 11 kali.
Kudi yang dijatuhi hukuman penjara selama sembilan tahun baru-baru ini, menghadiri parti liar di London, Coventry dan Solihull selama enam hari pada Disember 2019, sebelum kembali semula ke Brighton.
Polis turut menjejaki pergerakan Kudi menggunakan data telefon mudah alih dan CCTV di blok perumahannya. Pada 23 Oktober, 2019, Asiah ditinggalkan selama tujuh jam 18 minit, dan sekali lagi pada 7 November selama 10 jam 37 minit.
Pada 19 November, Kudi meninggalkan Asiah sebanyak dua kali, 17 jam 13 minit untuk masa pertama dan 33 minit untuk yang kedua.
Sekali lagi pada 28 November, Asiah ditinggalkan selama 11 jam 35 minit, sebelum meninggalkannya untuk kali terakhir pada 5 Disember bagi meraikan sambutan hari jadinya yang ke-18.
Sebaik kembali dari berpesta pada 11 Disember 2019, Asiah ditemui mati kelaparan selepas meninggalkannya selama lima hari, 21 jam dan 58 minit.
Menurut laporan ITV, ibu muda itu menghubungi 999 sebaik tiba dirumah, sambil memberitahu operator “tolong, anak saya tidak mahu bangun” selepas mendapati Asiah tidak bergerak.
Asiah dikejarkan ke Hospital kanak-kanak Royal Alexandra, namun petugas perubatan gagal untuk menyelamatkannya.
Laporan bedah siasat mendapati punca utama kematian Asiah adalah pengabaian, iaitu kombinasi kelaparan, dehidrasi dan selesema.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]