
Kehilangan orang tersayang akibat Covid-19 sesungguhnya cukup tragis apatah lagi apabila wabak itu meragut nyawa isteri yang sedang sarat mengandung.
Sesiapun akan jatuh air matanya menyaksikan video TikTok memaparkan rentetan kisah seorang suami yang kematian isteri akibat covid-19 selepas melahirkan anak sulung mereka ini.
Bermula dengan klip isterinya yang hamil disahkan positif di sebuah pusat perubatan, sehinggalah dia ditahan dan hanya dibenar berkomunikasi menerusi panggilan video.
Pada satu ketika, si isteri hanya dilihat memakai bantuan oksigen dan keterangan gambar menjelaskan, bayi itu terpaksa dilahirkan kerana ibu telah tidak dapat bertahan lagi.
Sebaik bayi selamat dilahirkan, ibunya menghembuskan nafas yang terakhir.
Video berdurasi kir-kira 34 saat yang dikongsi di akaun milik @dilaadella itu disaksikan 1.7 juta warganet dengan lebih 154,000 tanda suka, 9,832 komen dan dikongsi 15,000 individu.
Difahamkan akibat komen yang bertalu-talu diterima dalam masa yang singkat, akaun ini telah disekat.
“Saya kena sekat, komen masuk terlalu pantas. Terharu ramai yang mendoakan. Sedih ramai ada kisah di sebalik covid yang meragut nyawa orang tersayang. Semoga kita semua kuat,” kongsi pemilik akaun.
Menurut kajian yang dilakukan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) kehamilan boleh mendedahkan wanita terhadap jangkitan dan penyakit yang teruk berdasarkan beberapa sebab.
Sistem kekebalan tubuh ditekan ketika kehamilan, tindak balas yang dirancang untuk mencegah reaksi buruk terhadap janin tetapi meningkatkan pendedahan ibu terhadap jangkitan virus.
Paru-paru juga mungkin terkesan akibat terkena rahim yang mengembang dan sistem kardiovaskular terpaksa ‘bekerja keras’. Covid-19 juga dapat meningkatkan risiko pembekuan darah dan memberi kesan ke atas plasenta yang memberi janin makan.
Bagaimanapun, pakar memberi amaran bahawa penemuan itu dijalankan terhadap sebilangan kecil pesakit, termasuk ramai yang dimasukkan ke hospital kerana Covid-19, sekali gus memungkinkan ia tidak mewakili semua wanita hamil yang dijangkiti.
Perkongsian tersebut mendapat perhatian bukan saja warganet yang bersimpati dan mengenali mereka yang senasib tetapi juga ibu-ibu yang sedang hamil dan positif covid-19.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]