Cubaan kejam buang anjing tepi jalan kantoi dirakam warganet

Cubaan kejam buang anjing tepi jalan kantoi dirakam warganet

Seorang pemuda dilihat menanggalkan tali dan kolar pada seekor anjing jenis Husky di tepi jalan sebelum meninggalkannya.

Perbuatan dua lelaki meninggalkan seekor anjing jenis Husky di tepi jalan di El Paso Texas, AS mengundang kemarahan warganet.

Cubaan kejam dua lelaki membuang seekor anjing di tepi jalan tular selepas perbuatan itu dirakam pengguna jalan raya lain.

Susulan itu seorang lelaki, Luis Antonio Campos, 68 ditahan Polis Daerah El Paso, Texas Jumaat lalu dengan bon jaminan berjumlah AS$5,000 (RM21,157).

Video insiden yang dipercayai dirakam pengguna jalan raya lain itu tular awal minggu ini selepas ia memaparkan seekor anjing jenis Husky ditinggalkan di tepi jalan di Horizon City, pedalaman El Paso.

Perkongsian itu menunjukkan seorang pemuda sedang menanggalkan tali dan kolar pada seekor anjing di tepi jalan sementara pemandunya menunggu dalam sebuah kenderaan jenis SUV.

Sebaik kenderaan mula bergerak, anjing itu dilihat cuba mengejarnya sehingga tidak berdaya dan akhirnya menyerah.

Video yang tular di media sosial itu sesak dengan komen warganet yang rata-rata jijik dengan perbuatan mereka.

“Macam mana orang boleh tergamak buat begini. Manusia tak guna,’ kata seorang pengguna Twitter.

“Cukup menyayat hati,” kata seorang pengguna Instagram di mana video itu telah dilihat lebih 1 juta kali.

Pengguna Instagram, ms.mojorising yang membuat hantaran itu berkata lelaki yang merekod video tersebut menghubungi polis, dan kemudian anjing itu dibawa ke Huckleberry Hound Dog Rescue di El Paso.

Menurut pusat perlindungan tersebut, anjing berusia 10 bulan itu kini dinamakan Nanook.

Dalam masa 24 jam saja, Nanook telah diserahkan kepada sebuah keluarga angkat untuk menjaganya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.