
Seorang lelaki di Korea Selatan menjadi popular kerana mengutip sampah selama 10 tahun untuk anaknya yang tidak bekerja dan pemalas.
Setiap inci rumah dua tingkatnya dipenuhi dengan rimbunan sampah seberat 150 tan yang menurutnya adalah ‘harta’ untuk anak lelaki itu.
Setiap hari Choi yang berasal dari Gwangju itu, akan mengutip sampah-sarap dari tepi jalan dan membawanya pulang kerana dia percaya, sampah tersebut boleh menjadi sesuatu yang bernilai.
Menurut laporan dari stesen televisyen Korea Selatan (SBS), lelaki berusia 75 tahun itu tinggal di rumah tersebut bersama isteri dan anak lelakinya.
Anak lelaki Choi yang berusia lingkungan 40-an dengan berat 100kg itu hanya menghabiskan masanya di rumah dan tahun lepas dia langsung tidak keluar.
“Setiap hari dia hanya duduk di penjuru rumah tanpa membuat apa-apa dan hidup dengan duit pencen ibunya.
“Saya bimbang apa akan jadi padanya, jika saya dan isteri sudah tiada lagi kerana itulah saya menyimpan banyak barang agar anak saya boleh menjualnya nanti,” ujar Choi.
Namun, apabila pemeriksaan kesihatan dilakukan, isterinya disahkan mempunyai masalah jantung dan doktor menasihatkan agar wanita itu tinggal dalam persekitaran yang bersih bagi memperbaiki kualiti hidupnya.
Choi yang pada mulanya menolak untuk membersihkan rumahnya tetapi akhirnya bersetuju demi kebaikan isterinya.
Seramai 226 orang sukarelawan dan satu jentera pengorek digunakan bagi membuang 150 tan sampah dari rumah Choi.
Anaknya yang mulanya tidak mahu berganjak dari rumah tersebut akhirnya mengalah dan memijak tanah untuk pertama kalinya.
Sebaik melihat rumahnya kembali bersih buat pertama kalinya selepas 10 tahun, warga emas itu mengalirkan air mata dan berjanji tidak akan mengutip sampah lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]