
Gara-gara teringin makan pizza, dua pengawal penjara di Sweden dijadikan tebusan selama sembilan jam oleh dua banduan dan hanya dibebaskan selepas makanan itu dihantar.
“Namun bagaimanapun, kedua-dua pengawal tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan sudah kembali ke pangkuan keluarga masing-masing,” lapor jurucakap penjara Stina Lyles kepada AFP.
Menurut seorang lagi pegawai penjara, Torkel Omnell ketika kejadian, kedua-dua banduan yang dipenjara atas jenayah membunuh di penjara keselamatan Hallby berhampiran bandar Eskilstuna itu berjaya masuk ke kawasan yang hanya dikhaskan untuk pengawal sekitar jam 12.30 tengah hari.
“Mereka berjaya menahan dua pengawal penjara yang berada di kawasan tersebut.
“Kami dengan pantas menghantar ‘orang tengah’ untuk berbincang dengan tahanan tersebut dan memanggil polis’, kata Omnell.
Menurut laporan media Sweden, banduan itu membuat dua tuntutan iaitu helikopter untuk melarikan diri dan 20 keping pizza untuk tahanan yang lain.
“Ya, pizza yang kami pesan sampai,” kata jurucakap penjara Lyles.
Ujar polis, kedua-dua banduan itu kemudian dibawa ke balai polis untuk disoal siasat kerana ‘menculik’.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]