
Kempen mengibarkan bendera putih bagi membantu mereka yang terputus bekalan makanan terus mendapat sokongan ramai.
Rata-rata masyarakat sepakat akan membantu menghulurkan bantuan kepada keluarga yang terkesan akibat pandemik Covid-19.
Sifat prihatin ini turut ditunjukkan oleh seorang wanita yang menyangka jirannya turut terkesan apabila mendapati terdapat kain putih di pintu rumah jirannya itu
Namun, rupanya jirannya sekadar menyidai tuala putih di gril pintu rumahnya.
Pengalaman lucu yang dikongsi Syiza Hasan di akaun Facebooknya bertajuk ‘Terlajak concerned’ itu mengundang pelbagai reaksi warganet termasuk lucu dan bangga dengan sifat mengambil berat beliau itu.
Dalam perkongsiannya, Syiza berkata dia terlihat tuala putih kecil dan besar tersidai di pagar dan gril pintu rumah jirannya selepas pulang dari kerja.
“Mereka tengah susah ke. Tapi sejak menyewa di sini, tak pernah pula ada apa-apa,” katanya sambil bermacam persoalan bermain di fikiran.
Sebagai Bendahari taman, dia turut mengambil gambar rumah jiran tersebut dan dikongsi di kumpulan WhatsApp rukun tetangga kejiranannya.
Namun, oleh kerana ketika itu sudah masuk waktu maghrib, tiada maklum balas diterima maka Syiza membuat keputusan untuk bertanya khabar.
“Saya masuk ke perkarangan rumah itu dan mengetuk pintu. Tuan rumah keluar sambil memegang penyembur fabrik dan di wajahnya penuh tanda tanya.
“Cik nak tanya, kain putih ini cik gantung ke? Cik perlukan bantuan ke?” tanya Syiza.
Dengan wajah terkejut, tuan rumah terus menarik tuala yang dijemur sambil pantas menjawab mereka dalam keadaan baik dan ia sekadar salah faham.
Sememannya tindak balas cepat wanita itu adalah sesuatu sifat yang sangat dipuji. Apatah lagi Syiza yang juga merupakan pemilik Seehat Store, sebuah kedai halal mart yang menjual pelbagai produk dan makanan tambahan kesihatan turut aktif memberi sumbangan kepada mereka yang memerlukan.
Perkongsiannya itu turut mendapat beberapa komen lucu warganet. Tidak kurang juga yang memuji sifat cakna Syiza Hasan selaku bendahari dan ahli MR-RT kejiranannya.
“Sama macam saya semalam, dekat jati setingkat. Rupanya memang dia jemur ‘towel’ putih di hanger ingatkan dia ganti bendera,” ujar Azura Syed Muhammad
“Gelaklah juga. Tapi anda hebat, Yang penting prihatin tu no.1,” kata Rose Ruziana Samad pula.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]