Tak sedar yang ditolak rupanya beruang

Tak sedar yang ditolak rupanya beruang

Tular di media sosial aksi berani seorang remaja perempuan menyelamatkan anjing peliharaannya dari diserang seekor beruang dewasa.

Kisah berani Hailey menjadi tular sehingga digelar ‘wira’.
CALIFORNIA:
Bagi sesetengah orang, haiwan peliharaan dianggap begitu istimewa, bahkan ia dijaga dan disayangi bagai sebahagian dari keluarga.

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai kisah berani seorang remaja perempuan menyelamatkan anjing peliharaannya dari diserang oleh seekor beruang dewasa yang berlaku di California, Amerika Syarikat.

Remaja wanita yang bernama Hailey Morinico itu pada mulanya sedang berkebun bersama ibunya di halaman belakang rumah tanpa menyedari didatangi oleh seekor beruang bersama anak-anaknya.

Beruang dewasa dan dua anaknya itu memanjat tembok pagar rumah remaja tersebut sehingga membuatkan anjing-anjing Hailey menggonggong dan cuba untuk menghalaunya.

Dia yang menyedari kejadian tersebut tanpa berfikir panjang terus menolak beruang yang beratnya hampir 70 kilogram (kg) itu beberapa kali hingga ia terjatuh dan berlalu dari situ.

Aksi berani remaja yang berjaya menyelamatkan anjing-anjingnya itu telah mencuri perhatian netizen sehingga memanggilnya wira.

Namun, di sebalik kisah tersebut sebenarnya remaja yang berusia 17 tahun itu tidak menyedari bahawa haiwan yang ditolaknya adalah seekor beruang.

“Sejujurnya saya tidak sedar dan di kepala saya waktu itu hanyalah berfikir, bahawa ada haiwan yang menyerang ‘anak-anak’ saya dan semasa saya menolaknya, baru saya perasan ia adalah seekor beruang,” ujarnya.

Menurut laporan, remaja tersebut tinggal berdekatan dengan kawasan perhutanan iaitu Angeles National Forest dan kelibat beruang memasuki kawasan perumahan adalah satu keadaan biasa.

Namun begitu, Hailey turut berpesan kepada masyarakat agar tidak mencontohi aksinya.

“Jangan lakukan apa yang saya lakukan, anda mungkin tidak akan mendapatkan hasil yang sama,” ujarnya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.