Seorang doktor terharu dengan ingatan seluruh rakyat Malaysia mendoakan arwah bapanya yang meninggal dunia selepas beberapa hari menerima rawatan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) akibat Covid-19.
Menerusi laman Instagram, Dr Sakinah Kamarul Bahrin berkata, dia dihujani dengan mesej di WhatsApp, mesej di akaun media sosial, panggilan telefon selain meletakkan tag namanya pada hantaran di Instagram.
Katanya, dia amat berterima kasih kepada semua yang berusaha untuk menghubunginya dan menyampaikan ucapan takziah buat dirinya dan keluarga.
“Saya dibanjiri dengan mesej di WhatsApp, mesej secara terus, panggilan telefon serta tag nama di Instagram. Allah, ramainya sayang abah. Alhamdulillah, thank you (terima kasih) Allah.
“Terima kasih semua yang mengambil masa dan berusaha menghubungi saya. Saya ok InsyaAllah,” tulisnya dalam satu hantaran menerusi akaun Instagram sakinah_kb.
Kisah pemergian bapanya, Kamarul Bahrin Mohamad yang dikongsikan menerusi satu video di Instagram amat meruntun hati apabila Dr Sakinah sempat membantu arwah mengambil wuduk sebelum dimasukkan ke ICU.
“Beberapa minit sebelum abah masuk ke ICU, abah minta saya membantunya mengambil wuduk. Di akhir video ini abah berkata, tolong doakan untuk abah/atok ya.
“Saya dipanggil untuk menandatangani semua persetujuan yang diperlukan. Abah, abah redha ya semua keputusan dan persetujuan yang Nor tandatangan ini,” soal Dr Sakinah sebelum membawa arwah bapanya yang berusia 63 tahun ke ICU.
Selain itu, Dr Sakinah yang mesra disapa sebagai Nor memohon maaf kerana kurang tegas dalam mengingatkan Allahyarham terhadap kepentingan mengamalkan penjarakan sosial.
Pada masa sama, dia turut mengingatkan orang ramai betapa seriusnya jangkitan Covid-19 yang boleh mengambil nyawa ahli keluarga tersayang.
“Sempat cakap dengan abah, abah, semua urusan abah di dunia ini, abah jangan risau, Nor take over (ambil alih), kami semua uruskan,” tulisnya lagi.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]