Rumah cetakan 3D pertama berjaya dihasilkan di Eropah

Rumah cetakan 3D pertama berjaya dihasilkan di Eropah

Pasangan warga Belanda menjadi penghuni pertama rumah cetakan 3D.

Rumah cetakan 3D yang siap dalam tempoh lima hari. (Gambar AFP)

Pasangan warga Belanda menjadi penghuni pertama rumah dihasilkan menerusi teknologi cetakan tiga dimensi (3D) pertama di Eropah yang siap dibina dalam tempoh lima hari saja.

Pasangan terbabit, Elize Lutz, 70, dan Harrie Dekkers, 67, baru saja mendiami rumah unik dua bilik berukuran 94 meter itu yang kelihatan seperti batu besar bertingkap.

Rumah itu dihasilkan menerusi Project Milestone dengan kerjasama majlis perbandaran, Universiti Teknikal Eindhoven dan beberapa syarikat pembinaan dan ia mengambil masa 120 jam atau lima hari untuk disiapkan.

“Ia agak istimewa. Bentuknya agak unik dan apabila kali pertama melihatnya, ia mengingatkan saya kepada sesuatu yang pernah dilihat ketika zaman kecil,” kata Lutz yang akan menyewa rumah itu dengan bayaran 695 pound (RM3,938) sebulan.

Buat masa ini, keadaan rumah terbabit kelihatan pelik apabila lapisan konkrit bercetak boleh dilihat dengan jelas.

Bagaimanapun, selepas ini, ia bakal menjadi penyelesaian kepada masalah kekurangan rumah di Belanda dan negara itu perlu membina beribu rumah baharu untuk menampung pertambahan penduduk.

Rumah itu dihasilkan dengan menggunakan 24 konkrit ‘bercetak’ daripada sebuah mesin yang mengeluarkan lapisan demi lapisan konkrit sebelum ditambah dengan bumbung.

Manakala Dekkers berkata, ciri yang jelas mengenai rumah unik itu ialah ia kedap bunyi dan begitu selesa untuk mengelakkan gangguan bunyi bising.

“Ia adalah perasaan yang menyenangkan apabila anda tidak akan mendengar bunyi bising dari luar sebaik berada di dalam rumah,” katanya.

Sementara itu, Profesor Universiti Teknikal Eindhoven, Theo Salet berkata, cetakan tiga dimensi terbabit adalah antara kaedah untuk menjadikan proses pembinaan lebih lestari.

Menurutnya, dia percaya kaedah itu dapat mengurangkan penggunaan bahan pembinaan sehingga 30 peratus sekali gus mengelakkan pembaziran bahan.

Selepas ini, gabungan kerjasama berkenaan merancang untuk membina lima lagi rumah dan pembinaan baru itu mungkin membabitkan rumah bertingkat.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.