
Nenek berusia 114 di Nebraska, Amerika Syarikat yang kini memegang takhta sebagai individu tertua di negara itu menyuarakan kerinduannya untuk makan bersama rakan selepas setahun terkurung akibat pandemik Covid-19.
Menurut Kumpulan Penyelidikan Gerontologi, Thelma Sutcliffe yang berasal dari Omaha turut diiktiraf sebagai manusia ketujuh tertua dunia pada 17 April lalu selepas kematian Hester Ford yang berusia 115 tahun di North Carolina.
Berdasarkan laporan Omaha World-Herald, wanita terbabit dilahirkan pada 1 Oktober 1906.
Biarpun berusia, Sutcliffe masih mempunyai keinginan yang tinggi untuk melakukan apa yang disukainya dan sentiasa bertanyakan mengenai rakan lama, Luella ‘Lou’ Mason.
Ketika ini, rumah orang tua yang didiaminya melaksanakan perintah berkurung sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan jangkitan Covid-19 kepada penghuninya.
Buat masa ini, Sutcliffe hanya menikmati makanan di biliknya saja tanpa ditemani sesiapa.
Menurut Mason, dia lega dengan langkah yang diambil itu untuk melindungi semua penghuni termasuk Sutcliffe.
Katanya, penerimaan pelawat yang ketat ke tempat itu juga menyebabkan dia terpaksa mengaturkan waktu lawatan lebih awal seperti dicadangkan.
“Setiap kali saya melawatnya, dia pasti bertanya sama ada saya akan menemaninya makan bersama.
“Pertanyaannya itu amat menyentuh perasaan memandangkan saya tidak boleh berbuat demikian ketika dalam keadaan pandemik ini,” katanya.
Selain itu katanya, walaupun usia Sutcliffe sudah begitu lanjut dengan masalah pendengaran dan penglihatan namun fikirannya masih tajam seperti orang muda.
Sebelum ini, Sutcliffe mengambil peluangnya sebagai warga emas untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]