Tipu 35 wanita kerana kemaruk hadiah hari jadi

Tipu 35 wanita kerana kemaruk hadiah hari jadi

Takashi Miyagawa memperdayakan 35 wanita kerana mahu hadiah hari jadi sepanjang tahun

Takashi Miyagawa dipercayai ketika bersama salah seorang mangsa. (Gambar SoraNews24)

Seorang lelaki di Jepun ditahan polis selepas memperdayakan lebih 35 wanita untuk keluar dengannya semata-mata ingin mendapatkan hadiah hari jadi secara berterusan sepanjang tahun.

Modus operandi Takashi Miyagawa begitu mudah apabila hanya memberitahu tarikh lahir yang berbeza pada setiap mangsa hingga wanita terbabit benar-benar mempercayainya.

Tindakan itu menyebabkannya berjaya menerima hadiah hari jadi yang secara keseluruhannya mencecah 100,000 yen (RM3,807) termasuk pakaian sut berharga 30,000 yen (RM1,140).

Salah seorang wanita berusia 47 tahun menyangkakan tarikh lahirnya adalah pada 22 Februari, manakala seorang lagi diberitahu pada Julai dan seorang lagi mangsa pula dimaklumkan kononnya hari lahirnya pada April.

Menurut laporan media tempatan, mangsa yang menyedari ditipu kemudiannya tampil secara beramai-ramai sebelum mereka membuat laporan polis.

Miyagawa yang berasal dari wilayah Kansai didakwa mula melakukan penipuannya ketika bekerja sebagai jurujual produk mandian di sebuah syarikat pemasaran.

Dia dikatakan menyasarkan sekurang-kurangnya 35 orang wanita di tempat kerjanya dengan berpura-pura menjalin hubungan serius dengan mereka.

Lelaki hidung belang itu turut membuat pelbagai janji manis kononnya ingin menamatkan zaman bujang bersama mereka.

Laporan MBS News turut menunjukkan beberapa keping gambar lelaki terbabit bersama mangsa di beberapa lokasi berbeza termasuk taman serta restoran.

Polis masih lagi menyiasat sama ada terdapat lagi wanita lain yang terjerat dengan penipuannya itu.

Kejadian itu turut mendapat perhatian netizen yang mengecam perbuatan keji lelaki berkenaan.

“Dia adalah orang yang sangat teruk tetapi saya mencemburui kemahirannya menguruskan masa,” tulis seorang netizen di SoraNews24.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.