
Pizza Domino’s hanya kerak sahaja? Bagaimana pula dengan smoothie dihiasi dengan ikan bilis dan sambal?
Gurauan semakin menjadi-jadi pada tarikh 1 April buat sesetengah orang, yang dianggap hari ‘istimewa’ di mana sesiapa saja tidak akan ‘terlepas’ daripada lawak bodoh mereka.
Bagaimanapun, ‘aktiviti’ itu terhenti seketika pada tahun lalu berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.
Sebelum itu, syarikat gergasi seperti Google juga tidak melepaskan peluang ‘mengenakan’ pengguna supaya mempercayai bahawa mereka boleh bercakap dengan pokok bunga Tulip. Video di bawah menceritakan segala-galanya.
Beberapa syarikat di Malaysia juga cuba memperdaya pengguna setianya pada 1 April hingga ada yang percaya dengan gurauan mereka.
1. Kerak pizza kosong Domino’s

Bayangkan ketika anda begitu teruja menyambut penghantar pizza Domino’s di hadapan rumah dan bersedia untuk menjamah makanan lazat tersebut sambil membayangkan pizza dihiasi dengan pelbagai perisa bersama keju cair.
Tetapi semua angan-angan itu musnah apabila hanya diberikan kerak pizza kosong.
Tidak dinafikan, iklan April Fool Domino’s mengenai produk edisi terhad pada 2019 itu menimbulkan pelbagai reaksi berbeza di kalangan pelanggan setia mereka.
Tanpa sebarang hiasan, setiap kotak pizza hanya akan diisi dengan kerak pizza kosong.
Namun, ada juga pelanggan yang kononnya ingin mencuba sesuatu yang baru, bersedia untuk memesannya.
Namun, ada juga yang terhibur dengan gurauan mereka apabila Domino’s mengumumkan pelanggan akan diberikan lilin dengan haruman telur masin secara percuma bersama pizza berkenaan.
Seorang pengguna Facebook, Jamil menulis komen di laman Facebook Domino’s, “Ini bukan pizza. Ini super ring!”
2. Inovasi baru Maxis, jilat skrin telefon untuk merasai keenakan sebenar makanan

Enam tahun lalu, Maxis mengumumkan mereka membuat satu inovasi baru kononnya pengguna telefon pintar boleh melihat gambar makanan dan merasainya.
Inovasi baru itu dikenali sebagai ‘Screen Savour’ dan beberapa saintis di Maxis mendakwa ia mempunyai keupayaan bagi pengguna merasai apa saja gambar makanan yang terpampang pada skrin mereka.
Jadi, berapa ramai yang terpedaya dengan helah mereka ini?
Seorang pengguna dalam komennya berkata, “Bayangkan jika ini benar. Teringin makan burger tapi anda sedang diet? Tiada masalah! Hanya jilat skrin telefon tanpa menaikkan berat badan”.
Biarpun, perbuatan itu ketika pandemik ini agak berisiko namun pada 2015 ramai juga yang berharap inovasi baru itu menjadi realiti dan percaya dengan helah terbabit.
“Saya tidak sabar menunggu tahun 2020 hingga 2025 apabila ia menjadi benar!,” tulis seorang pengguna YouTube.
3. Durex mengeluarkan produk berinspirasikan spicy Mala

Jenama Durex tidak mahu ketinggalan dan ingin mengambil peluang membuat gurauan kepada penggunanya.
Pada 1 April 2019, Durex memuat naik sekeping gambar di Facebook mengumumkan produk baharu mereka berinspirasikan perisa spicy mala.
Mereka menambah, ia bukan hanya dicelup dalam minyak Mala tetapi dihasilkan daripada kulit ikan.
‘Keluaran’ terbaru itu sekali gus menimbulkan pelbagai reaksi pengguna di Facebook hingga ada yang mencadangkan perisa lain seperti teh susu dan tomyam.
4. Ruang permainan Ikea menjadi ‘mimpi ngeri’ ibu bapa

“Kami akan mengubah Småland dari sebuah ruang permainan kepada ‘press-play-ground’!”
Itu adalah pengumuman Ikea Malaysia di laman Facebook mereka pada 2017 bersama beberapa keping gambar kanak-kanak yang hanya duduk melayan tablet masing-masing.
Ikea bercadang mengubah cara kanak-kanak bermain dengan hanya memberi mereka tablet.
Walaupun ia dianggap lawak oleh kakitangan Ikea, namun gurauan itu menimbulkan rasa kurang senang di kalangan ibu bapa.
“Anak perempuan saya suka mengunjungi Småland kerana dapat bermain dengan kanak-kanak lain seusianya. Ini menyedihkan. Jangan cuba ubah mereka menjadi seperti zombie!”, tegas netizen, Reza Jailani di Facebook Ikea.
5. Smoothie nasi lemak La Juiceria

Ingin mencari smoothie protein sebaik habis bersenam? La Juiceria Superfoods menyediakan minuman enak dan berkhasiat untuk memulihkan kembali tenaga anda.
Sambil mempromosikan smoothie sayuran di Facebook mereka pada 2019, La Juiceria Superfoods menggelarnya sebagai ‘Super Nasi Lemak Smoothie’.
Ia bukan saja dihiasi dengan nasi, sambal, ikan bilis dan kacang, malah turut ditambah dengan telur kuning.
Tidak kiralah sama ada ia menyelerakan atau sebaliknya, mereka kemudiannya membuat pengumuman bahawa ia hanyalah sekadar gurauan sempena April Fool.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]