‘Itu hanya gurauan’, kata Armizan berkait cadangan terus pegang portfolio KPDN

‘Itu hanya gurauan’, kata Armizan berkait cadangan terus pegang portfolio KPDN

Semalam, Ahli Parlimen PN, Rosol Wahid dan Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, Armizan Mohd Ali layak dilantik menteri KPDN susulan prestasi baiknya.

Armizan Mohd Ali memangku jawatan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup sejak 30 Julai lalu susulan kematian Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.
KUALA LUMPUR:
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali menyifatkan cadangan beberapa Ahli Parlimen supaya beliau dilantik memegang portfolio itu sebagai gurauan.

“Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) dan Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) jauh lebih berpengalaman daripada saya. Barangkali mereka sekadar mahu bergurau dengan saya,” katanya kepada FMT.

Semalam, Rosol dan Ku Abd Rahman dalam sidang Dewan Rakyat berkata, Armizan layak dilantik menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup susulan prestasi baiknya dalam menyelesaikan masalah kos sara hidup yang serius ketika ini.

Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) turut berpuas hati dengan penjelasan Armizan ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2024 peringkat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di Dewan Rakyat semalam.

Dalam pada itu, Armizan berkata, walaupun jawatan itu belum diisi, beliau yakin fungsi KPDN dapat dilaksanakan dengan teratur berdasarkan kesungguhan kakitangannya.

“Itu rakyat perlu yakin dan tahu,” katanya.

Armizan yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) memangku jawatan menteri KPDN sejak 30 Julai lalu susulan kematian Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu.

Pada 27 Sept lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata beliau masih memikirkan rombakan Jemaah Menteri yang bakal dibuat, antaranya untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Salahuddin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.