
Sebuah lukisan tangan potret diri yang dihasilkan oleh robot manusia, Sophia dijual pada harga lebih AS$688,000 (RM2.84 juta) dalam satu acara lelongan.
Karya Sophia yang ‘menginterpretasikan’ gambaran wajahnya sendiri ditawarkan sebagai ‘non-fungible token’ atau NFT iaitu tanda tangan digital tersulit yang membawa pembaharuan dalam pasaran lukisan dalam tempoh beberapa bulan lalu.
Imej bertajuk ‘Sophia Instantiation’ itu dihasilkan dengan kerjasama Andrea Bonaceto iaitu seorang artis dan rakan kongsi di sebuah firma pelaburan blok rantai, Eterna Capital.
Bonaceto memulakan proses dengan menghasilkan potret Sophia berwarna terang yang diproses oleh rangkaian neural robot terbabit sebelum dilukis oleh Sophia mengikut interpretasinya.
Sophia yang dibangunkan oleh firma robotik berpangkalan di Hong Kong, Hanson Robotics mendapat perhatian dunia dengan kebolehan berinteraksi, pergerakan realistik dan raut wajah yang kompleks.
Sejak diaktifkan pada 2016, ia muncul dalam rancangan bual bicara serta berucap pada beberapa acara persidangan.
Malah, ia juga diberikan hak kerakyatan Arab Saudi sekali gus menjadikannya sebagai robot pertama yang mempunyai taraf kerakyatan.
Menurut Nifty Gateway, iaitu pasaran NFT yang membantu menjual karyanya, kebolehan melukis itu adalah berdasarkan keputusan yang dibuat sendiri tanpa sebarang bantuan daripada manusia.
Disokong oleh teknologi blok rantai, NFT membawa revolusi dalam pasaran hasil karya seni dengan menawarkan cara untuk menentu sahkan pemilikan seseorang terhadap imej dan video.
Penggunaan token memainkan peranan utama dalam kemunculan seni digital itu yang sukar untuk ditiru atau diedarkan semula, tidak seperti lukisan berbentuk fizikal atau arca.
Awal bulan ini, satu karya dihasilkan oleh artis digital, Beeple menjadi NFT pertama dijual oleh syarikat lelongan besar.
Lukisan kolaj digital bertajuk ‘Everydays: The First 5000 Days,’ itu dijual pada harga lebih AS$69 (RM285 juta), menjadikannya sebagai karya ketiga termahal dihasilkan oleh artis.
Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]