Impian Firash, penghidap leukemia akhirnya tertunai

Impian Firash, penghidap leukemia akhirnya tertunai

Kanak-kanak penghidap leukemia tahap empat yang mengimpikan untuk menaiki kereta peronda polis akhirnya tercapai.

Muhammad Firash begitu seronok menaiki kereta peronda polis sambil dipangku oleh Noorzainy selama 15 minit dan turut ditemani oleh ibu bapanya. (Gambar Bernama)

Tiada apa yang lebih bermakna bagi seorang kanak-kanak penghidap leukemia apabila impiannya untuk menaiki kereta polis akhirnya tercapai.

Lebih bermakna apabila hasrat Muhammad Firash Arryan Muhammad Yusri, 6, itu ditunaikan ketika Sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara (SPU), hari ini.

Penderitaan kanak-kanak itu yang pernah dipaparkan dalam akhbar sebelum ini turut mendapat perhatian Ketua Polis SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor yang tersentuh melihat keadaannya menghidap leukemia tahap empat.

Menurut ibunya, Aida Royani Abdul Razak, 30, anaknya begitu minat dengan kerjaya polis itu dan teringin untuk menaiki kereta polis sejak dia terlantar sakit lagi.

Katanya, dia amat berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sudi menunaikan hasrat anaknya itu.

Firash yang minat dengan kerjaya polis dipakaikan beret polis. (Gambar Bernama)

“Ini adalah impian anak saya untuk menaiki kereta polis dan alhamdulillah, hajatnya itu berjaya ditunaikan. Terima kasih kepada PDRM kerana merealisasikan impiannya.

“Sejak kecil lagi dia memang minat dengan kerjaya polis dan kemudian meluahkan hasrat untuk menaiki kereta polis. Dia begitu bersemangat dan seronok sejak kelmarin lagi,” katanya.

Muhammad Firash diberi peluang untuk menaiki kereta peronda polis sambil dipangku oleh Noorzainy selama 15 minit dan turut ditemani oleh ibu bapanya.

Keadaan kesihatan kanak-kanak itu dilaporkan semakin merosot sejak awal Mac lalu selain hati dan limpanya membengkak.

Julai tahun lalu, dia sempat kembali ke tadika selama seminggu selepas menjalani rawatan kemoterapi.

Sementara itu, Noorzainy berkata, biarpun sibuk dengan tugas namun mereka tidak mengabaikan kanak-kanak seperti Muhammad Firash.

“Sempena Hari Polis ke-214 ini, kita mengambil inisiatif merealisasikan impiannya untuk menaiki kereta polis.

“Selain itu, dia juga dipakaikan dengan beret polis ketika menaiki kereta peronda dan kanak-kanak itu kelihatan amat seronok. Dalam kesibukan kita menjalankan tugas, polis juga tidak lupa kepada insan seperti adik Firash,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.