Lagi rumah murah di Itali!

Lagi rumah murah di Itali!

Bakal pemilik boleh membeli rumah di Laurenzana dengan harga serendah satu euro.

Laurenzana, sebuah bandar di kawasan pergunungan wilayah Basilicata.

Selepas beberapa bandar di Sicily, Itali seperti Salemi dan Tronia menjual rumah murah untuk menggalakkan lebih ramai penduduk baru, satu lagi bandar mengikut jejak sama.

News.com.au melaporkan, bandar dikenali sebagai Laurenzana itu ingin menambah jumlah penduduk dengan menjual rumah dan bangunan dengan harga satu euro (RM4.90).

Laurenzana yang terletak di selatan wilayah Basilicata kini mempunyai kira-kira 50 hartanah bersejarah untuk dibeli, lapor Departures.

Dalam usaha memikat pembeli, Datuk Bandarnya, Michele Ungaro sanggup mengurangkan bayaran deposit pengubahsuaian kepada 490 euro (RM2,412) berbanding biasa yang mencecah 3,080 euro (RM15,162) hingga 7,670 euro (RM37,758).

Bagaimana pun, bakal pemilik harus membentangkan cadangan mereka kepada pihak berkuasa dan menjelaskan mengapa mereka berminat untuk membeli selain cadangan pengubahsuaian yang ingin dilakukan.

Menurut Travel and Leisure, sepuluh daripada rumah lama di situ menjadi pusat sejarah bandar terbabit manakala 40 lagi adalah bangunan tinggalan lama.

Kebanyakan daripada kediaman dan bangunan kosong ini wujud sejak abad ke-19 lagi dan mempunyai ciri-ciri klasik seperti balkoni besi dan memerlukan banyak kerja pengubahsuaian untuk menjadikannya kelihatan moden.

Ungaro berkata, bakal pemilik perlu bersedia untuk mengeluarkan belanja besar pengubahsuaian rumah kerana ia dianggarkan menelan 30,800 euro (RM151,625).

Sebelum memuktamadkan pembelian, orang ramai yang berminat juga perlu melawat Laurenzana.

Bagaimana pun, ia mungkin agak mustahil untuk dilakukan oleh pembeli dari luar negara dalam tempoh beberapa bulan lagi berikutan sekatan perjalanan akibat pandemik Covid-19.

Biarpun sedikit mengecewakan namun peluang masih terbuka kepada sesiapa saja yang berminat.

Bandar lama itu mempunyai landskap menarik seperti jalan berbatu, kedai, bar, istana lama Laurenzana selain trek hiking dan Maratea iaitu tapak Warisan Dunia UNESCO, lapor Departures.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.