‘Popeye’ ingin buang implan pada lengan

‘Popeye’ ingin buang implan pada lengan

Popeye mula risau dengan kesan implan gel petroleum dalam lengannya.

Kirill Tereshin atau ‘popeye’ ingin menjalani pembedahan untuk membuang implan dalam lengannya. (Gambar Instagram)

Peninju Mixed Martial Arts (MMA) warga Russia dikenali sebagai ‘Popeye’ kerana mempunyai lengan besar selepas disuntik gel petroleum, berdepan masalah apabila pembedahan membuang implan itu terpaksa ditangguh berikutan pandemik Covid-19.

Bekas tentera itu, Kirill Tereshin memberitahu Eeast2West, dia tidak tahu apa yang bakal berlaku terhadap kesihatannya sekiranya pembedahan itu ditangguh lama.

“Saya hanya berusia 24 tahun dan setakat ini sistem imun badan masih boleh bertahan dengan keradangan yang dialami namun, saya tidak tahu apa akan berlaku selepas ini,” katanya yang mempunyai lengan sebesar 60 sentimeter.

Tereshin mula menjalani pembedahan pada 2019 dan lengan barunya tidak memberi kesan dalam pertandingan tinju apabila dia kalah kepada lawannya dalam tempoh tiga minit saja.

Tidak lama selepas itu, dia mula mengalami masalah yang disebabkan oleh implan pada lengannya.

“Sebab itu saya ingin menjalani pembedahan untuk membuang implan ini. Saya mendapatkan lengan besar pada usia 20 tahun kerana terlalu bodoh. Saya tidak fikir kesannya,” katanya.

Seorang individu yang giat menjalankan kempen menentang salah guna pembedahan kosmetik, Alana Mameva, 33, memujuk lelaki terbabit untuk menyelamatkan nyawanya dengan melakukan pembedahan, lapor satu saluran berita.

Peninju itu memberitahu, dia mempunyai satu ketulan petroleum keras dan ‘otot mati’ dalam lengannya.

Tereshin berkata, dia bernasib baik apabila ada doktor yang sudi membantunya dan seorang pakar bedah, Dmitry Melnikov memberitahu pemuda itu boleh mati jika tidak dibedah.

“Pembedahan paling sukar adalah bahagian lengan, saraf yang berfungsi terhadap sensitiviti tangan berada di bahagian dalamnya.

“Jika berlaku sesuatu pada saraf ini, saya tidak boleh mengerakkan tangan. Saya amat risau dan takut. Sepatutnya saya fikir mengenai perkara ini dahulu. Saya salahkan diri sendiri,” katanya yang menyuntik tiga liter bahan itu ke dalam lengannya.

Katanya, gel petroleum murah itu boleh menyebabkan demam panas, kesakitan teruk dan lemah badan.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.