Warga emas didapati tidak bersalah guna tandas wanita kerana ‘tak tahan’

Warga emas didapati tidak bersalah guna tandas wanita kerana ‘tak tahan’

Hakim bersimpati dengan warga emas didakwa ceroboh tandas wanita, sedangkan hanya dianggap hilang pertimbangan disebabkan sakit perut.

Lelaki itu sedang berjalan di bandar sebelum tiba-tiba sakit perut lalu terus lari ke premis terdekat, untuk menumpang tandas. (Gambar Rawpixel)

Seorang lelaki berusia 64 tahun yang tersilap apabila berlari masuk ke tandas wanita kerana tidak tahan mahu membuang air dilepaskan daripada tuduhan menceroboh tempat itu.

Dalam kejadian di Hamamatsu City, Shizuoka, Japan Today melaporkan lelaki itu sedang berjalan di bandar sebelum tiba-tiba sakit perut lalu terus lari ke premis terdekat, Muzium Sains Hamamatsu, untuk menumpang tandas.

Kerana sudah tidak mampu berfikir rasional, dia terus berlari masuk ke tandas yang sebenarnya dikhaskan untuk wanita.

Malangnya, lelaki itu ditangkap dan didakwa atas tuduhan menceroboh tandas wanita yang membawa hukuman denda sehingga 100,000 yen.

Bagaimanapun, lelaki itu mengaku tidak bersalah kerana papan tanda pada pintu itu membuatkannya menyangka dalam keadaan kelam-kabut bahawa tandas itu bersifat uniseks iaitu dikongsi wanita dan lelaki.

Sebenarnya papan tanda itu sekadar makluman bahawa kakitangan muzium turut menggunakan tandas berkenaan.

Hakim Ayako Sasabe bersimpati dengan lelaki itu kerana mengambil kira keadaannya yang terlalu sakit perut ketika kejadian.

Tambahan, mahkamah sebelum itu turut mendengar keterangan saksi yang melihatnya kelam-kabut mencari tandas ketika masuk ke muzium berkenaan seterusnya bererti dia tiada niat melakukan jenayah.

Kes itu dikritik bukan kerana tindakan lelaki terbabit, tetapi pembaca yang mempertikaikan bagaimana dia boleh didakwa semata-mata kerana kesilapan kecil.

Malah, seorang daripadanya dipetik berkata “Saya selalu saja lihat wanita berusia masuk tandas lelaki di stesen kereta api. Tiada apa-apapun.”

Tidak kurang juga yang berkata lelaki itu tidak melakukan sesuatu yang tidak sopan, malah tandas wanita mempunyai unit berasingan jadi tindakan lelaki terbabit tidaklah mengganggu sesiapa.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.