Laporan sahkan kisah pilu ribuan bayi mati di rumah jagaan

Laporan sahkan kisah pilu ribuan bayi mati di rumah jagaan

Inkuiri sahkan kesengsaraan dialami di rumah jagaan di sekitar Ireland bagi ibu muda tanpa suami yang dikendalikan gereja Katolik selama lebih separuh abad.

Pembongkaran kubur besar-besaran yang tidak ditanda di Tuam menjumpai 796 mayat bayi. (Gambar Twitter Jaime Garcia)
DUBLIN:
Ribuan bayi meninggal dunia di rumah yang dikhaskan untuk ibu muda bujang dan anak mereka, dikendalikan gereja Katolik dari tahun 1920-an hingga 1990-an.

Menurut laporan satu inkuiri pada Selasa dengan kadar kematian yang dianggap ‘mengerikan’ itu turut menggambarkan kesengsaraan hidup wanita-wanita malang terbabit.

Ia meliputi 18 Rumah untuk Ibu dan Bayi di mana wanita muda yang hamil – ramai daripadanya tidak berkahwin – disorok daripada masyarakat selama berdekad-dekad.

Laporan berkenaan adalah yang terbaru daripada beberapa siri kertas siasatan kerajaan yang mendedahkan penderaan dilakukan atas nama gereja Katolik.

“Kira-kira 9,000 kanak-kanak meninggal dunia keseluruhannya, dengan 15% kadar kematian. Kadar kanak-kanak yang maut sebelum mencapai usia setahun di satu rumah penjagaan di Bessborough, Cork, adalah setinggi 75% pada 1943”, ujar laporan tersebut.

Bayi dirampas daripada ibu mereka dan dihantar ke luar negara untuk dijadikan anak angkat, selain kanak-kanak akan disuntik vaksin ujian tanpa izin mereka.

Keterangan penghuni yang tidak didedahkan identiti mereka turut membandingkan institusi berkenaan sama dengan penjara malah mendakwa turut didera rahib dan digelar ‘pendosa’ serta ‘anak syaitan’.

Ada antara wanita terbabit terpaksa bersalin tanpa diberi ubat tahan sakit.

Seorang saksi menceritakan bagaimana dia mendengar ‘wanita menjerit, seorang lagi menjadi gila dan melihat bilik-bilik dengan keranda putih yang kecil.’

Ketua gereja Katolik Ireland memohon maaf tanpa syarat kepada penghuni yang terselamat dan memuji semangat mereka untuk ‘membawa sinar cahaya dalam babak suram sejarah Gereja dan masyarakat.’

Anggota keluarga mangsa mendakwa bayi didera kerana dilahirkan ibu yang belum berkahwin. Ibu dan anak terbabit rata-rata dianggap mencemar imej Ireland sebagai negara Katolik. Inkuiri itu turut menyatakan golongan ibu terbabit termasuk budak perempuan berumur 12 tahun.

Rekod kerajaan menunjukkan kadar kematian lebih lima kali ganda untuk kanak-kanak di rumah penjagaan seperti itu berbanding dalam persekitaran keluarga biasa dengan ibu bapa yang sah berkahwin.

Seramai 56,000 wanita dan budak perempuan termasuk mangsa rogol dan sumbang mahram dilaporkan dihantar ke situ untuk melahirkan anak.

“Laporan jelas menunjukkan bahawa selama berdekad-dekad, Ireland mengamalkan budaya yang menindas dan amat membenci perempuan dengan stigma terhadap ibu yang tiada suami serta anak mereka menyebabkan golongan itu gelap masa depan,” kata Menteri Kanak-kanak Roderic O’Gorman.

Sementara itu, sehari selepas laporan inkuiri dikeluarkan, Perdana Menteri Micheál Martin membuat permohonan maaf secara rasmi kepada golongan yang terkesan akibat skandal itu di parlimen, dan menyifatkannya sebagai ‘babak suram lagi memalukan dalam sejarah Ireland.’

Kerajaan berkata pampasan dari segi kewangan akan diberikan, selain mempercepatkan undang-undang untuk membolehkan kubur digali semula dan mangsa dikebumikan dengan lebih sempurna.

Bekas penghuni kediaman seperti itu dan anak-anak yang diserahkan sebagai anak angkat juga dijanjikan lebih akses kepada butiran peribadi yang selama ini disekat daripada mereka.

Kumpulan mangsa yang terselamat mengakui laporan berkenaan ‘mengejutkan’ namun menganggap ia tidak cukup mengakui peranan kerajaan dalam mengendalikan rumah-rumah penjagaan berkenaan.

“Apa yang berlaku hanya mencerminkan kerajaan yang baru dibentuk ketika itu, yang jelas mengamalkan undang-undang dan budaya anti wanita,” kata kumpulan itu.

Siasatan dilancarkan enam tahun lepas, selepas pembongkaran kubur besar-besaran yang tidak ditanda di Tuam oleh sejarawan tempatan, Catherine Corless, yang sehingga kini dihantui bayangan kanak-kanak kurus kering seperti yang mungkin menghuni rumah penjagaan seperti itu.

Corless, yang menonton pembentangan maya oleh Martin untuk mangsa terselamat dan keluarga mereka memberitahu Reuters dia rasa agak kecewa kerana menganggap mangsa pasti mahukan lebih penjelasan daripada perdana menteri itu.

Tidak kurang juga yang mengkritik dapatan inkuiri berkenaan, yang menganggap mustahil untuk membuktikan atau menafikan tuduhan bahawa sejumlah besar wang diberikan kepada agensi di Ireland yang kemudian menghantar kanak-kanak dari rumah-rumah penjagaan berkenaan ke luar negara sebagai anak angkat.

Laporan itu mendapati tiada peraturan statutori yang membolehkan 1,638 anak angkat dari rumah penjagaan seperti itu dihantar ke luar negara, kebanyakkannya ke Amerika Syarikat.

Vaksin percubaan untuk penyakit seperti difteria, polio, demam campak dan rubella juga dilaksanakan atas kanak-kanak ini tanpa izin mereka.

Gereja mengendalikan kebanyakan perkhidmatan masyarakat Ireland pada kurun ke-20 dengan menerima pembiayaan kerajaan.

Sementara itu, ketua agama Ireland Ketua Biskop Armagh, Eamon Martin memohon maaf kepada mangsa dan keluarga mereka dalam satu kenyataan.

“Saya terima bahawa Gereja memang sebahagian daripada budaya yang mengasingkan, menghukum dan menyisihkan segelintir masyarakat,” katanya.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.